Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Ako kini stabil

04 Aug 2022 | Farihad Shalla Mahmud

KUALA LUMPUR: Pelakon Ako Mustapha, 51, yang dikejarkan ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, pagi tadi, kini stabil.

Berkongsi keadaan terkini suaminya itu, Kartina Shuaib, berkata Ako yang sebelum ini lemah, sudah boleh bercakap.

"Alhamdulillah, Ako sudah stabil. Paras gula dalam darahnya sudah menurun kepada 5.8. Pagi tadi, suami langsung tidak boleh bercakap, pernafasannya lemah dan paras oksigen menurun.

Foto dimuat naik di IG Ako pada 2 Mac lalu. Foto IG Ako Mustapha
Foto dimuat naik di IG Ako pada 2 Mac lalu. Foto IG Ako Mustapha

"Mujur doktor di HKL pantas bertindak. Sekejap sahaja mereka sudah dapat mengesan penyakit suami saya itu. Selepas diberi rawatan kecemasan, dia sudah boleh buka mata dan bercakap," katanya kepada BH Online.

Menceritakan punca kejadian, Kartina berkata, pelakon drama bersiri Nusyuz Berkiblat Cinta itu dikejarkan ke HKL berikutan penyakit kencing manis.

"Kesihatan Ako merosot. Saya sangka dia dijangkiti virus Influenza berikutan simptom yang ditunjukkan seperti demam dan muntah.

"Hujung minggu lalu, saya tiada di rumah kerana ke luar daerah atas urusan kerja. Apabila saya sampai rumah kira-kira jam 3 pagi tadi, saya lihat wajah suami seperti tidak bermaya.

"Apabila bangun tidur, saya beri dia minum air dan sup. Tetapi suami muntahkan semua. Ketika itu, saya perasan wajahnya senget. Melihat keadaan itu, saya terus hubungi ambulans untuk dibawa ke HKL," katanya.

Kartina berkata, pada mulanya, dia menyangka Ako terkena angin ahmar.

"Namun, menurut doktor, keadaan itu disebabkan ketiadaan insulin dalam badan suami hingga otot dan saraf gagal berfungsi.

"Rupa-rupanya sudah seminggu dia tidak makan ubat kencing manis kerana habis dan tidak sempat membelinya," katanya.

Kartina berkata, dia masih belum dapat bertemu suaminya dan segala perkembangan Ako hanya diketahui menerusi doktor.

"Ako yang sebelum ini di rawat di zon merah sudah dipindahkan ke wad pengasingan. Dia akan dipantau doktor dari unit rawatan rapi (ICU). Jadi, sesiapa pun tidak dibenarkan melawatnya termasuk saya.

"Doakan semoga Ako diberi kesembuhan segera," katanya.

Terdahulu, berita Ako dikejarkan ke HKL dikongsi Tina di akaun Instagram (IG) aktor terbabit.

Perkongsian itu mendapat perhatian pengikut dan rakan artis apabila mereka mendoakan agar Ako cepat sembuh.