Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Aishah beli baju baharu setahun sekali

27 Apr 2023 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Masih jelas dalam ingatan penyanyi lagu Pulanglah, Datuk Aishah kenangan kesibukannya dan teman sepermainan bermain bunga api di kawasan padang rumah berdekatan kuarters Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Raja Muda, Kampung Baru setiap kali menjelangnya Syawal.

Walaupun kenangan indah sudah lama berlalu, setiap kali menjelang Syawal pasti momen bersama rakan terbit dalam ingatan.

"Bapa adalah guru besar di Sekolah Kebangsaan Jalan Raja Muda. Jadi, sudah menjadi kemestian saya dan rakan-rakan yang tinggal di kuarters akan bermain bunga api pada malam raya.

"Lebih menyeronokkan, kawasan kuarters berhampiran dengan padang besar. Jadi, kami bebas berlari dan bermain bunga api, namun alhamdulillah tiada siapa pernah tercedera," katanya ketika mengimbau semula momen indah di Aidilfitri.

Selain terkenangkan aktiviti bermain bunga api, seperkara lagi yang masih segar dalam ingatan penyanyi berusia 58 tahun itu keseronokan menggayakan baju raya baharu setiap kali Syawal.

Katanya, kanak-kanak pada zaman sekarang mungkin tidak merasai keseronokan berbaju baharu kerana hidup serba mewah.

"Berbeza kanak-kanak zaman dahulu, setahun sekali barulah dapat beli baju dan kasut baharu. Punya seronok lain macam.

"Selain teruja dengan baju dan kasut baharu, seperkara lagi adalah acara mengira duit raya.

"Kebiasaannya pulang berhari raya, saya dan adik beradik akan lambakan duit untuk mengira berapa jumlah yang berjaya dikumpul, itu adalah bahagian yang paling menyeronokkan sekali," imbaunya kepada BH Online.

Aishah meraikan Syawal di Ampang bersama anak-anaknya selepas ketiadaan ibu bapa. - Foto IG Aishah
Aishah meraikan Syawal di Ampang bersama anak-anaknya selepas ketiadaan ibu bapa. - Foto IG Aishah

Sejak berstatus ibu, Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin berkata, segala keseronokan berpindah kepada anak-anak, biarlah dirinya tidak mempunyai persalinan baharu, asalkan persiapan dua cahaya matanya, Armand Azhari dan Azhad Ahlami dapat disiapkan.

Namun, katanya, dia tidak lagi kecoh membuat persiapan sebagaimana dahulu memandangkan anak-anaknya sudah dewasa.

"Keutamaan memang anak-anak. Ketika mereka masih kecil, saya akan membelikan pakaian dan kasut raya baharu sebagai ganjaran berpuasa selama sebulan.

"Namun, sekarang anak-anak sudah bekerja, jadi persiapan tidaklah beriya seperti dahulu. Mereka sudah pandai membeli apa dimahukan, jadi kami tidaklah wajib berpakaian sedondon di pagi raya. Asalkan warna baju hampir sama sudah memadai, tidaklah wajib semua memakai rona sama," katanya.

Berkongsi juadah pagi raya, menu wajib disediakan adalah sambal tumis udang yang menjadi kegemaran anak sulungnya, manakala menu lain seperti rendang, lemang dan ketupat hanya ditempah.

"Ketika anak-anak masih kecil, kami akan bersandar kepenatan selepas menikmati juadah pagi raya seperti rendang, lemang dan ketupat.

"Namun sekarang bila anak-anak sudah besar, mereka akan sibuk dengan aktiviti masing-masing selepas menikmati juadah.

"Saya pula hanya di rumah menanti tetamu yang datang. Kalau ada yang maklumkan ingin datang, memang saya akan bersilat di dapur kerana kebiasaannya sampai tengah malam ada sahaja saudara mara yang datang berkunjung," katanya yang menyambut Syawal di kediamannya di Ampang.

Sejak pemergian orang tuanya, kata Aishah, dia hanya meraikan Syawal di ibu kota bersama anak-anaknya.

Namun, katanya, dia akan meluangkan masa menziarahi pusara arwah ibunya di Taman Kosas, manakala arwah bapa di Jalan Ampang.