Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Aiman Tino terkejut mangsa rentung teman sekolah

12 May 2022 | Zaidi Mohamad

KUALA LUMPUR: Penyanyi Aiman Tino terkejut salah seorang daripada lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang rentung dalam nahas di Kilometer (KM) 245.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat Terowong Menora, Ipoh tengah malam tadi, adalah kenalannya.

Aiman memberitahu, Allahyarham Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, yang berasal dari Kuala Kubu Bharu, Selangor, adalah sahabatnya sejak sekolah rendah.

"Kami kenal sejak belajar di Sekolah Rendah Ampang Pecah, Kuala Kubu Baharu.

Aiman (kanan) berkongsi foto terakhir bersama sahabatnya, Allahyarham Muhammad Nasrun Aidol ketika mereka bertemu, Januari lalu. - Foto ihsan Aiman Tino
Aiman (kanan) berkongsi foto terakhir bersama sahabatnya, Allahyarham Muhammad Nasrun Aidol ketika mereka bertemu, Januari lalu. - Foto ihsan Aiman Tino

"Kali terakhir kami berjumpa adalah apabila arwah datang ke rumah keluarga saya di Kuala Kubu Bharu untuk membeli manisan Nutella Pod yang saya jual, awal tahun ini," katanya.

Penyanyi lagu Ku Rela Dibenci itu memuat naik entri di Instagram (IG) mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Nasrun dan empat lagi mangsa terkorban.

Aiman atau nama penuh, Muhammad Aiman Yusri, berkata dia mendapat tahu mengenai nahas membabitkan arwah Muhammad Nasrun dan empat rakannya yang lain kira-kira jam 1 pagi tadi.

"Abang saya hantar mesej melalui WhatsApp mengenai kemalangan itu awal pagi tadi.

"Saya amat terkejut dan tidak sangka semua ini boleh terjadi sekelip mata, ...Allah lebih menyayanginya. Salam takziah untuk keluarga arwah dan mangsa lain," katanya.

Sejak di bangku sekolah, Aiman dan Allahyarham Muhammad Nasrun masing-masing meminati bidang seni.

Aiman (kiri) dan Allahyarham Muhammad Nasrun Aidol pernah menyertai pertandingan nasyid ketika bersekolah dahulu. - Foto ihsan Aiman Tino
Aiman (kiri) dan Allahyarham Muhammad Nasrun Aidol pernah menyertai pertandingan nasyid ketika bersekolah dahulu. - Foto ihsan Aiman Tino

"Kami pernah sertai pertandingan nasyid. Kami suka dengan dunia muzik. Arwah pandai menulis lirik lagu bercorak nasyid dan ketuhanan dan selalu berkongsi karyanya dengan saya," katanya.

Selain Muhammad Nasrun, empat mangsa lain yang terkorban adalah Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, dari Chukai Terengganu; Iqbal Hasnun Halimi, 23, dari Senai, Johor; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dari Batu Caves, Selangor dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dari Parit Buntar, Perak.

Muhammad Nasrun dan Iqbal Hasun adalah pelajar Sarjana Muda Pengajian Islam; Ahmad Naim Najmi (Sarjana Muda Kaunseling); Muhammad Nabil Haikal (Diploma Pentadbiran Perniagaan) dan Ahmad Akmal (Diploma Kaunseling Islami).

Semua pelajar itu difahamkan sedang keluar kawasan atau 'outing' ke Ipoh menaiki kereta yang disewa memandangkan tiada kelas pembelajaran semalam.