BERITA ABPBH

Aghniny terharu pengiktirafan FFM35 disambut baik

23 Nov 2026 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Pengiktirafan Anugerah Khas Juri pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) bukan sekadar penghormatan buat pelakon Indonesia, Aghniny Haque, sebaliknya lebih bermakna apabila bakatnya turut diterima dan diraikan penggiat seni tempatan.

Aghniny, 29, yang membintangi filem Khadam, berkata beliau tidak pernah menjangka menerima pengiktirafan istimewa itu, apatah lagi pada penyertaan pertama dalam festival berprestij berkenaan.

Katanya, sokongan dan sambutan mesra peminat serta rakan industri di Malaysia membuatkan beliau berasa begitu dihargai sepanjang berada di negara ini.

"Sejujurnya, saya tidak percaya menerima penghormatan istimewa ini. Saya sangat gembira dan bersyukur melihat bagaimana teman-teman di Malaysia sentiasa menyokong dan menyambut saya.

"Saya senang dapat berada di sini serta meraikan sinema bersama teman-teman Malaysia.

"Saya hampir pengsan. Ini FFM pertama saya dan semuanya sukar dipercayai. Penat lelah selama ini terasa terbayar.

"Kebanggaan terbesar adalah apabila karya kita dapat diterima ramai. Saya sangat bersyukur dan benar-benar kehilangan kata-kata," katanya ditemui pada malam kemuncak FFM35 yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, di sini, baru-baru ini.

Mengulas peluang mengembangkan kerjaya di Malaysia, Aghniny memberi bayangan bakal terbabit dalam filem aksi terbitan produksi tempatan.

"Ya, saya ada menerima beberapa tawaran, tetapi terpaksa ditangguhkan. Doakan saya berjaya.

"Saya boleh berikan sedikit bayangan, ia sebuah filem aksi," katanya.

Dalam pada itu, Aghniny berkata, kehadirannya pada FFM35 adalah bagi memberikan sokongan kepada Khadam yang meraih 12 pencalonan.

Katanya, beliau terlebih dahulu menyemak jadual kerja sebelum memutuskan untuk hadir bagi meraikan pencapaian filem berkenaan.

"Saya semak jadual sama ada sesuai atau tidak dan ya, saya mahu berada di sini untuk menyokong Khadam.

"Khadam mendapat 12 pencalonan dan bagi saya, itu membuatkan saya turut bangga serta gembira," katanya.

Berkongsi mengenai watak Melor yang dihidupkannya dalam Khadam, Aghniny berkata, karakter ibu bisu itu mempunyai keistimewaan tersendiri kerana mampu menyampaikan pelbagai emosi tanpa perlu berkata-kata.

Katanya, Melor ialah seorang ibu yang kuat, meskipun terpaksa menjalani kehidupan sendirian dan memikul tanggungjawab membesarkan anak-anak dalam keadaan serba mencabar.

"Kadangkala, perkara yang tidak diungkapkan mampu disampaikan dengan lebih jujur. Saya juga berterima kasih kepada Melor kerana memilih saya untuk menghidupkan karakternya.

"Melor seorang manusia yang sangat istimewa. Dia ibu yang kuat, hidup sendirian, penat dan pening memikirkan bagaimana harus menjaga anak-anaknya.

"Namun, dia bisu dan tidak boleh bercakap langsung. Dia juga terpaksa menanggung tekanan mewarisi beban ibunya.

"Dalam keadaan itu, dia masih mampu berdiri teguh demi menjaga anak-anaknya. Bagi saya, itu sesuatu yang luar biasa," katanya.

Aghniny berkata, pengiktirafan itu turut didedikasikan kepada semua ibu yang berjuang membesarkan anak-anak, meskipun berdepan pelbagai cabaran kehidupan.

"Detik ini saya dedikasikan untuk seluruh ibu di luar sana," katanya.