Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Afifah rahsia identiti kekasih, kahwin tahun depan

24 Jan 2023 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Pelakon Afifah Nasir, 29, sudah bersedia melangkah ke jenjang pelamin, namun perlu memberi laluan kepada kakak, Mia Nasir terlebih dahulu.

Afifah mendedahkan, dia juga merancang menamatkan zaman bujang, tahun ini tetapi hasrat terpaksa ditangguh ke tahun hadapan berikutan kesibukan kerjaya lakonan.

Anak keempat daripada lima adik-beradik itu berkata, dia melihat rumah tangga kakak-kakaknya bahagia, ditambah kehadiran cahaya mata membuatkannya turut mengimpikan keluarga sendiri.

"Saya seronok kakak bersama pasangan dan anak-anak mereka ketika kami bercuti bersama.

"Tetapi, saya tidak boleh terburu-buru berkahwin selagi kedudukan kewangan belum stabil.

"Mulanya, saya merancang berkahwin, tahun ini tetapi jadual lakonan pula penuh sepanjang tahun. Jadi, saya tangguhkan perancangan kepada tahun hadapan dan beri laluan kepada Mia," katanya kepada BH Online.

Mengulas mengenai kekasih hatinya, pelakon drama Hati Yang Dikhianati itu mendedahkan, bakal suaminya hanya orang biasa yang tidak terbabit dalam dunia seni.

Afifah ingin memiliki keluarga sendiri selepas melihat kakak-kakaknya bahagia bersama pasangan dan anak. - NSTP/Aziah Azmee
Afifah ingin memiliki keluarga sendiri selepas melihat kakak-kakaknya bahagia bersama pasangan dan anak. - NSTP/Aziah Azmee

Justeru, katanya, dia kurang selesa berkongsi lebih lanjut mengenai jejaka berjaya menambat hati, selain mahu menjaga privasi.

"Dia bukan orang industri dan sangat menjaga privasi. Jadi, biarlah saya rahsiakan identitinya.

"Kekasih juga enggan identiti didedahkan dan tidak selesa.

"Bagaimanapun, kekasih faham perhatian diberikan terhadap golongan selebriti dan reda dengan perkara itu," kata Afifah yang ditemui pada sidang media RR Bridal di Shangri-La Hotel Kuala Lumpur untuk memperkenalkan pereka fesyen junior jenama terkenal itu.

Berkongsi majlis perkahwinan impian, wanita kelahiran Bukit Gelugor, Pulau Pinang itu menginginkan majlis sederhana yang hanya dihadiri keluarga terdekat.

Namun, katanya, ibu bapa mahukan majlis meriah dan dapat mengundang sanak saudara dan rakan taulan.

"Kalau boleh saya mahukan perkahwinan yang dihadiri sanak saudara dan rakan terdekat.

"Tetapi, ibu bapa pula mahu sanak saudara atau rakan tidak ketinggalan daripada senarai tetamu," kata Afifah.

Ditanya adakah majlisnya diadakan serentak dengan Mia, Afifah berkata, ia tidak mungkin terjadi kerana masing-masing mempunyai perkahwinan impian.