Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

ABPBH nilai kredibiliti artis

18 Sep 2021 | Farihad Shalla Mahmud

KUALA LUMPUR: Menghangatkan lagi program eksklusif ABPBH 34 bersama penaja utama, Xiaomi secara virtual malam tadi, BH Online menemubual penyandang trofi Bintang Paling Popular ABPBH 33, Haqiem Rusli dan mengajak jejaka ini berkongsi momen bersejarah di pentas berprestij itu.

Akui penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Segalanya ini, kemenangan pada ABPBH 33 melakar sejarah tersendiri untuk kerjaya seni dan kehidupan peribadi.

"Impak kemenangan pada malam kemuncak ABPBH 33 sangat besar. Kejayaan diraih cukup menggembirakan ibu bapa, keluarga dan peminat.

"Gelaran Bintang Paling Popular banyak membantu mengembangkan kerjaya muzik saya. Pelbagai tawaran menarik menyusul selepas itu.

Haqiem menganggap ABPBH menyuntik semangat anak seni untuk meningkatkan keupayaan diri dan menghasilkan produk bermutu. Foto IG Haqiem Rusli
Haqiem menganggap ABPBH menyuntik semangat anak seni untuk meningkatkan keupayaan diri dan menghasilkan produk bermutu. Foto IG Haqiem Rusli

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Tuhan," katanya.

Seperkara yang membuka mata Haqiem atau nama sebenar, Ridzuan Haqiem Rusli, 23, mengenai ABPBH adalah selain menjadi penanda aras populariti artis, acara itu menyuntik semangat positif anak seni.

"ABPBH adalah platform untuk menilai kredibiliti seniman. Untuk berjaya dan menempatkan diri sebagai insan yang dikenali, seseorang artis kena ada hasil kerja yang boleh dibanggakan.

"Tidak kisahlah sama ada pelakon atau penyanyi, dia kena berusaha membuktikan kehadiran dalam bidang ini bukan sekadar melepaskan batok di tangga.

"Saya memulakan kerjaya nyanyian sejak berusia 10 tahun. Saya perlahan-lahan membina nama dengan menghasilkan karya seni hinggalah menjadi sebahagian daripada alumni ABPBH," katanya.

Ketika namanya di kemuncak, penyanyi yang dicungkil bakat melalui program realiti Idola Kecil ini mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga.

Ditanya tidakkah keputusan berkahwin pada usia muda umpama memperjudikan karier seni lantas memungkinkan populariti merudum, Haqiem akur jika perkara itu terjadi.

"Tidak dinafikan, selepas saya beritahu mahu menamatkan zaman solo, jumlah pengikut di Instagram (IG) berkurangan.

"Bukan hendak kata saya tidak kisah. Tetapi sebagai lelaki normal, saya ada perasaan untuk dicintai dan mencintai.

Haqiem merangkul trofi Bintang Paling Popular ABPBH 33, tahun lalu. Penyanyi Mimpi ini turut menggondol trofi Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi Malaysia dan Lagu Paling Boom Popular pada malam itu. Foto NSTP
Haqiem merangkul trofi Bintang Paling Popular ABPBH 33, tahun lalu. Penyanyi Mimpi ini turut menggondol trofi Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi Malaysia dan Lagu Paling Boom Popular pada malam itu. Foto NSTP

"Kalau ada insan yang patah hati dengan keputusan saya itu, saya minta maaf. Terimalah keputusan saya itu dengan hati terbuka dan penuh kematangan," pintanya.

Mengenai tarikh dia dan kekasih hati bakal disatukan, Haqiem berkata, perkara itu tertakluk kepada keputusan jabatan agama Islam negeri.

"Saya sudah menjalani kursus kahwin, kira-kira dua tahun lalu. Saya juga sudah membuat pemeriksaan HIV/AIDS. Buat masa ini, kami masih menunggu tarikh yang ditetapkan jabatan agama Islam.

"Kemungkinan besar, bulan depan saya dapat tahu tarikh nikah. Saya harap semua pihak dapat mendoakan yang terbaik buat kami," katanya yang sekali lagi tercalon dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular pada ABPBH 34.

Pada program eksklusif ABPBH 34 dan Xiaomi yang disiarkan secar virtual itu, penyanyi berbakat besar ini turut menghiburkan penonton dengan lagu Mimpi sambil diiringi petikan gitar.

Sementara itu, Jasmine meluahkan rasa teruja apabila diberi kepercayaan mengendalikan program anjuran ABPBH itu.

"Saya tidak pernah terfikir akan menjadi hos untuk program ABPBH. Walaupun bukan hos malam kemuncak, namun, apa sahaja yang berkaitan dengan acara berpestij ini, memberi makna yang cukup besar buat saya.

"Dipertimbangkan penganjur sebagai individu layak menggalas tugas ini sudah dianggap suatu pencapaian buat saya. Tidak mudah untuk saya berada dalam industri ini pada awalnya.

"Selain sifar pengalaman dan tiada pengetahuan asas dalam bidang ini, saya agak bergelut untuk menempatkan diri," katanya yang berasal dari Kuching, Sarawak.

Pertama kali menembusi senarai awal pencalonan menerusi kategori Pelakon TV Wanita Popular Xiaomi dan Watak Antagonis Popular, pelakon drama rantaian Adellea Sofea dan Bidadari Salju ini menyifatkannya sebagai satu kejutan.

"Saya tidak pernah meletakkan harapan untuk menang. Apatah lagi, senarai pencalonan itu membariskan ramai nama-nama besar dan kuat.

"Lagipun, kebanyakan peminat saya bukan dalam kalangan kelompok yang besar atau 'mass market'. Namun, saya tahu bukan mudah untuk seseorang dicalonkan kerana memerlukan kriteria tertentu.

"Jad, apabila nama saya tersangkut dalam dua kategori pada ABPBH 34, sudah tentu ini mengujakan dan saya sangat bersyukur," katanya.

Program durasi kira-kira sejam itu dipancarkan secara langsung pada jam 9 malam tadi di pelantar Facebook (FB) dan saluran Youtube rasmi BH Online dan TV3.