Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

ABPBH 34, TikTok perkenal kategori baharu

04 Oct 2021 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 yang bakal memasuki pusingan kedua apabila senarai Top 5 dalam kategori utama dan online diumumkan, Ahad ini, dirancakkan lagi dengan kerjasama platform perkongsian video, TikTok.

Selain kategori online, Anugerah FANtastik Popular yang diperkenalkan tahun lalu, kolaborasi ABPBH 34 dan TikTok kali ini menyaksikan kategori baharu dipertandingkan, iaitu Artis TikTok Popular, di mana cabaran bagi kedua-dua kategori terbabit dilancarkan secara rasmi, hari ini.

Pemenang dua kategori terbabit, iaitu artis dan kelab peminat (FC) yang meraih undian tertinggi dalam kategori Anugerah FANtastik Popular dan juara Artis TikTok Popular, masing-masing bakal membawa pulang trofi berprestij ABPBH 34.

Kerjasama ABPBH 34 dan TikTok yang mencetuskan fenomena dalam platform perkongsian video dan media sosial sejak akhir-akhir ini bakal menyemarakkan lagi penganjuran acara anugerah ini yang dilancarkan 10 September lalu, bertemakan #KITABERSAMA.

Pengarah Jawatankuasa Pengelola ABPBH 34 merangkap Pengarang Berita Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir berkata, BH selaku penganjur ABPBH amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan TikTok untuk tahun kedua berturut-turut.

"Setinggi penghargaan diucapkan kepada TikTok yang tampil sekali lagi menjalin kerjasama dengan BH.

"Kami di BH sentiasa proaktif dalam melakukan penambahbaikan dalam penganjuran ABPBH, terutama membabitkan pencalonan dan kategori yang dipertandingkan.

"ABPBH bukan sahaja memberikan pengiktirafan kepada artis, selebriti dan karyawan, malah kami juga ingin memberi penghargaan kepada kelab peminat yang sentiasa menjadi nadi kuat dalam menyokong industri seni tanah air.

ABPBH meneruskan kerjasama dengan TikTok melalui dua kategori yang dipertandingkan pada edisi ke-34 acara anugerah ini.
ABPBH meneruskan kerjasama dengan TikTok melalui dua kategori yang dipertandingkan pada edisi ke-34 acara anugerah ini.

"Peminat berperanan dalam membantu penganjuran ABPBH untuk kekal bertahan lebih daripada tiga dekad," katanya dalam kenyataan.

Shamshul Azree berkata, kerjasama dengan TikTok bertepatan dengan penganjuran ABPBH 34 dalam norma baharu.

"Di mana, ruang yang lebih luas diberi kepada kelab peminat untuk berkarya dan menunjukkan kreativiti masing-masing selain menyatakan sokongan berterusan kepada artis kesayangan dengan menggunakan platform TikTok.

"Jalinan kerjasama ini dapat menyemarakkan lagi ABPBH dalam platform digital sesuai dengan sokongan kepada usaha kerajaan supaya duduk di rumah bagi memerangi rantaian COVID-19," katanya.

Sementara, kenyataan media ABPBH 34 menyebut, bagi memeriahkan penganjuran acara ini, peminat boleh berkongsi video TikTok paling kreatif menggunakan lagu penaja utama ABPBH 34, Xiaomi berjudul Untukku Xiaomi bersama gaya tari yang ditetapkan dengan meletakkan tanda pagar #ABPBH34.

Peminat yang ingin menyertai #ABPBH34 kempen video TikTok, perlu mengikuti akaun TikTok TV3 Malaysia dan Xiaomi Malaysia.

Video paling kreatif dengan 'likes' dan 'engagement' paling tinggi berpeluang memenangi hadiah menarik daripada Xiaomi.

Pemilihan pemenang adalah tertakluk kepada cara menyertai peraduan dan penganjur berhak menentukan video pemenang melalui budi bicara. Keputusan penganjur juga adalah muktamad.

Antara hadiah menarik yang bakal menjadi milik pemenang adalah peranti Xiaomi11T Pro (8+256 GB) dan Redmi Buds 3 Pro bagi juara.

Pemenang tempat kedua akan menerima peranti Xiaomi 11T (8+128GB) dan Redmi Buds 3 Pro dan tempat ketiga menyediakan hadiah peranti Xiaomi 11 Lite 5G Ne (8+128 GB) dan MI Smart Band 6.

Penganjur ABPBH 34 turut menawarkan 20 hadiah sagu hati berupa barangan eksklusif daripada BH.

Tarikh penyertaan dan undian bagi kategori Anugerah FANtastik Popular dan Artis TikTok Popular bermula hari ini sehingga 7 November depan di laman aplikasi TikTok.

Setiap pengguna boleh membuat 20 undian setiap hari dan lima undian tambahan akan diberi jika meletakkan tanda pagar #ABPBH34.

Pengguna juga boleh mendapatkan tambahan 10 undian jika mereka memperkenalkan atau 'Invite' pengguna baharu kepada TikTok dan pengguna mendapat pengenalan 'Invited' dari pengguna TikTok lain.