Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Selepas lima tahun membina nama sebagai personaliti media sosial, Alieff Irfan atau nama penuh, Muhd Aliff Irfan Aziki, teruja menempah tempat dalam kalangan Top 5 bagi kategori YouTuber Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34.
Jejaka berusia 24 tahun berasal dari Pasir Mas, Kelantan ini berentap dengan Azfar Heri, Aqil Zulkiflee, Che Nom dan Cikidot Channel.
"Sangat teruja kerana dalam tidak sedar, ramai yang menyokong dan mengundi saya pada ABPBH 34 tanpa diminta.
"Saya tidak melobi atau berkempen meminta diundi... Namun, rezeki Allah tiada siapa yang tahu.
"Saya anggap pencalonan ini sebagai rahmat terindah," katanya yang disokong kumpulan peminat yang menggelarkan diri mereka AI Team.
Suami kepada pempengaruh media sosial, Nurul Nabilah Aliah Hazman atau lebih dikenali sebagai Bellestrelle ini menganggap ABPBH sebagai acara anugerah terbesar yang mencalonkannya.
Sebelum ini, Alieff pernah disenaraikan dalam kalangan Top 20 kategori Influencer MeleTOP, Anugerah MeleTOP ERA 2020.
"Bagi saya, soal saingan semuanya sengit. Memandangkan masing-masing ada peminat dan penyokong sendiri.
"Tetapi pada malam kemuncak ABPBH 34, hanya ada satu pemenang. Ada rezeki saya... adalah. Jika tidak, rezeki empat calon lain.
"Menang atau kalah, adat bertanding. Saya pasti semua orang melalui atau sudah biasa dengan situasi begitu. Apa yang pasti, hidup kena diteruskan walau apa pun yang terjadi," katanya yang berkahwin pada 14 Februari tahun lalu.
Alieff berkongsi pengalaman berjinak-jinak dalam dunia lakonan dengan membintangi filem Daddyku Gangster arahan Ismail Bob Hashim.
"Penggambaran dilakukan tahun lalu. Jika diikutkan, saya berminat untuk meneroka bidang lakonan dengan lebih jauh.
"Cuma, masa membataskan saya berikutan perhatian terhadap dunia YouTube dan perniagaan," katanya.
Selain bergelar YouTuber, Alieff menjalankan perniagaan kosmetik dan kesihatan, AylaGlow selain barangan serta pakaian jenama ZB Lifestyle.