Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

30 tahun 'laku' sebab badan besar

13 Feb 2022 | Zaidi Mohamad

KUALA LUMPUR: Silih berganti bakat pelapis muncul tak ubah umpama cendawan tumbuh selepas hujan, namun, pelakon dan pelawak, Syanie Hisham, 48, masih utuh dalam perjuangannya selama lebih tiga dekad bergelar anak seni.

Nyata, bentuk fizikal bukan masalah besar apabila rezeki Syanie sentiasa ada, malah, pernah mencipta gelombang populariti menerusi filem-filem komedi suatu ketika dahulu.

Biarpun anak kepada penerbit filem, Ruhanie Abdul Rahman itu pernah membuat pembedahan pintasan perut atau 'gastric bypass', namun, Syanie menadah kesyukuran, rezekinya yang hadir tetap bersandarkan kepada alasan bentuk fizikal, bukan watak semata-mata.

"Pada penghujungnya, saya selesa bertubuh comel. Saya tidak perlu kurus untuk menjadi orang lain.

"Rezeki bertubuh comel menyebabkan saya mampu bertahan hingga lebih tiga dekad dalam industri lakonan.

"Saya fikir, kalau terlalu popular pun sampai bila? Jadi, saya bersyukur dengan apa sahaja nikmat dikurniakan.

"Sejak dahulu, saya berjuang bukan mahu mengejar anugerah. Saya selalu percaya watak dilakonkan selama ini tak akan dilihat sebagai faktor yang boleh membuatkan saya menang," katanya kepada BH Online.

Syanie ditemui pada sidang akhbar filem terbaharu berjudul Hantu Kuat Ketawa arahan Mawi, baru-baru ini.

Diperkenalkan menerusi filem XX Ray pada 1992, Syanie menyifatkan dirinya beruntung kerana berpeluang merasai penggambaran ketika menggunakan filem 'kodak'.

"Pengalaman ini sangat berharga, mungkin ramai sudah lupa, manakala pelakon generasi baharu tidak dapat merasainya. Cuma, penggambaran zaman guna filem 'kodak' itu tidak boleh melakukan kesilapan berlakon.

"Jika salah, rugi 'kodak' dan boleh mendatangkan kerugian. Zaman sekarang, kalau silap boleh merakamkan semula babak. Namun, begitulah putaran masa dan zaman, sentiasa ada anjakan dan perubahan," katanya.

Filem Hantu Kuat Ketawa arahan Mawi kembali menggandingkan Syanie bersama Saiful Apek yang pernah mencipta keserasian menerusi filem Senario, Cinta Luar Biasa, Laila Isabella dan Biar Betul.
Filem Hantu Kuat Ketawa arahan Mawi kembali menggandingkan Syanie bersama Saiful Apek yang pernah mencipta keserasian menerusi filem Senario, Cinta Luar Biasa, Laila Isabella dan Biar Betul.

Syanie atau nama sebenarnya, Syaniza Hisham berkata, dia teruja apabila filem Hantu Kuat Ketawa menemui penonton menerusi Astro First sejak 27 Januari ini.

Filem kedua arahan Mawi terbitan MW Entertainment Sdn Bhd dan Al Najwa Production Sdn Bhd itu kembali menggandingkan Syanie bersama teman lamanya, Saiful Apek. Mereka pernah mencipta keserasian menerusi filem Senario, Cinta Luar Biasa, Laila Isabella dan Biar Betul.

Selain Syanie dan Apek, turut membintangi filem itu termasuklah Zarina Anjoulie, Along Cham, Anas Tahir, Zalif Sidek dan ramai lagi.

"Saya mula teringatkan zaman saya dan Apek semasa dapat skrip. Bagaimanapun, filem Hantu Kuat Ketawa menyerlahkan sisi perbezaan kami daripada segi imej dan kematangan lakonan.

"Saya membawa watak Aminah, isteri kepada Amirul (Apek). Dalam filem ini, saya sentiasa bertasbih dari awal hingga penghujung filem.

"Watak Aminah ada simbolik di mana semua manusia mahu jadi baik, namun, sejauh mana mampu konsisten sukar dipastikan. Bertasbih dan nampak seperti Islamik bukan tiket untuk menghakimi orang lain.

"Jadi, itulah mesej berguna untuk dijadikan panduan hidup," katanya.

Syanie bersama suaminya, Zahril Hafiz yang mendirikan rumah tangga pada tahun lalu.
Syanie bersama suaminya, Zahril Hafiz yang mendirikan rumah tangga pada tahun lalu.

Pelakon yang pernah meraih populariti menerusi drama komedi, Lontong dan Sambal itu mengakui, dia gementar selepas agak lama tidak berada di lokasi penggambaran filem.

"Tambah pula, saya sudah bertudung ketika penggambaran bermula. Jadi, mahu membiasakan diri dengan imej baharu agak kekok.

"Saya akui menggeletar tangan ketika membaca skrip. Lebih menguji apabila banyak babak lasak perlu dilakukan, saya pula bertubuh sihat.

"Namun, ia menjadi satu kenangan terindah dapat kembali ke sisi Apek. Saya juga tidak berdepan masalah dengan pelakon lain, kami mudah mencipta keserasian.

"Paling utama, saya kena tahu batas sebagai isteri orang, jadi, tidak ada babak manja seperti zaman dahulu," katanya.

Mengulas soal peribadi, Syanie yang mendirikan rumah tangga kali ketiga pada Februari, tahun lalu, berkata, dia perlu membiasakan diri dengan alam berumah tangga selepas sekian lama hidup bersendirian.

"Cuma, kalau boleh suami, Zahril Hafiz Mohammed Nor tidak mahu saya menjalani penggambaran di luar Kuala Lumpur terlalu lama. Lagipun, kami tinggal bersama mummy, jadi, suami agak canggung tanpa saya di rumah.

"Jujurnya, saya memang ada perancangan mahu tinggal di rumah sendiri selepas berkahwin. Cuma, keadaan kesihatan mummy agak turun naik dan memerlukan perhatian saya serta adik beradik.

"Suami faham saya perlu menjaga mummy, jadi, kami sepakat tinggal dengan mummy," katanya.

Katanya, suami juga tidak kisah soal berat badan selagi tahap kesihatannya baik.

"Alhamdulillah, tahap kesihatan masih okay. Suami pula jika kami ke pusat beli-belah selalu akan melekakan saya dengan mengajak berjalan-jalan setiap tingkat yang ada.

"Dalam usia sekarang, dapat buat 3,000 langkah pun sudah memadai. Berat saya juga turun empat kilogram (kg), baru-baru ini. Kini, berat saya sudah 136 kg," katanya.

Kini, Syanie rancak menjual sarung tangan dan baju bersaiz besar dalam media sosial. Memilih perniagaan baju dan sarung tangan disebabkan sukar mencari baju bersaiz besar yang sesuai.