SHAH ALAM: 'Tiga belas tahun tak jumpa.'
Begitulah dakwaan pengacara dan pelakon, Raja Azura, 53, tempoh anak-anak tidak berjumpa bekas suami atau bapa mereka, Adzmin Osman.
Raja Azura mendakwa selepas berpisah pada 2010, hubungan dengan Adzmin masih baik. Bagaimanapun, dua tahun kemudian, Adzmin didakwa tidak lagi muncul hingga sekarang.
Tambah Raja Azura, anak-anaknya, iaitu Megat Muhammad Raziq Adzmin, 23, Megat Luqman Hakim Adzmin, 22, dan Puteri Mia Maizura Adzmin, 20, tidak pernah meraikan Aidilfitri atau menyambut hari jadi bersama bapa mereka.
"Sudah 13 tahun anak-anak tidak bersalam dengan ayah mereka termasuklah pada hari raya. Sepanjang tempoh itu, mereka tidak pernah bertembung.
"Adzmin juga tidak pernah ucap hari lahir pada anak-anak," katanya kepada pemberita di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Raja Azura berkata, dia menjaga silaturahim anak-anak bersama datuk mereka.
"Alhamdulillah, itu adalah inisiatif saya. Saya tetapi hormat bapa mentua, walaupun kami sudah bercerai.
"Setiap kali Aidilfitri atau Ramadan, saya bawa ke tiga-tiga anak jumpa datuk mereka. Memang saya bawa dan tak pernah lupa," katanya.
Raja Azura berkata, dia mendidik anak-anak agar menghormati bapa mereka, malah, tidak pernah menghalang jika mereka mahu berjumpa Adzmin, jauh sekali meracuni fikiran mereka.
"Saya tak pernah racuni fikiran anak-anak untuk berdosa kepada ayah mereka… Tidak ada. Sebaliknya, saya selalu minta anak-anak doakan supaya ayah mereka kaya raya dan bahagia agar dapat beri nafkah pada mereka," katanya.
Selama ini, tambah Raja Azura, dia tidak suka bercerita hal peribadi kerana takut silap membuatkan kenyataan.
Namun, hari ini dia berani bersuara kerana mengakui sudah semakin matang dengan ujian hidup dilaluinya.
"Sebelum ini, saya tidak suka bercerita hal rumah tangga. Saya cakap hari ini pun atas kematangan diri. Saya hendak jadi contoh kepada anak-anak sebab suatu hari nanti, mereka pun akan berumah tangga.
"Kalau ada masalah, sebaik-baiknya jika boleh ditutup, kita tutup. Tapi kalau sudah kita tidak boleh tutup, kita perlu gunakan media sosial, media cetak atau mahkamah bagi menyelesaikan permasalahan… Kita gunakan. Tetapi gunakan dengan cara yang betul, itu lebih baik," katanya.