MENGENAI ABPBH

Hanya SATU anugerah untuk semua

Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) adalah acara anugerah hiburan pilihan peminat nombor SATU anjuran Berita Harian (BH) setiap tahun sejak 1987. Ketika itu, acara ini dikenali sebagai Anugerah Penyanyi dan Pelakon Popular (APPP). Bertahan 37 tahun, ABPBH menjadi antara acara anugerah hiburan paling konsisten yang meraikan industri kreatif dan anak seni.

ABPBH bertujuan memberi pengiktirafan kepada penggiat seni tanah air, di samping membuka peluang kepada pembaca dan pengikut setia BH untuk mengundi artis popular dan mengikuti pelbagai aktiviti dirancang hingga malam kemuncak ABPBH 37.

Pencalonan dibuka kepada penggiat seni tanah air merangkumi pelakon, penyanyi, pengacara televisyen (TV), penyampai radio dan lain-lain yang aktif serta konsisten dalam bidang masing-masing, dengan syarat sekurang-kurangnya menghasilkan satu produk dalam tempoh Januari hingga Disember 2024.

Meneruskan tradisi sebagai acara anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia, ABPBH 37 kembali dengan edisi ke-37 bertemakan ‘SATUKeunggulan’. Tema ini dipilih sebagai penghargaan terhadap kejayaan artis tempatan yang terus mengangkat bakat Dan kebolehan mereka, bukan sahaja di tanah air, malah menembusi pentas antarabangsa pada era digital yang penuh mencabar.

Kali ini, ABPBH 37 bakal menampilkan kepelbagaian pengisian merentasi semua platform, merangkumi kandungan digital dan bercetak, media sosial serta. aktiviti santai bersama kelab peminat yang bakal berlangsung sepanjang Oktober dan November ini.

Semua acara ABPBH berasaskan falsafah yang menekankan perlunya artis dan peminat memperkukuh potensi diri, mengasah kreativiti, dan memburu impian menjadi yang terbaik dalam setiap lapangan.

‘SATU Keunggulan' sejajar dengan kematangan akhbar BH yang kini berpegang kepada slogan ‘Satu Untuk Semua’, iaitu simbol platform yang menyatukan kepelbagaian di bawah satu jenama. Seperti ABPBH yang menghimpunkan artis dari pelbagai bidang dalam satu anugerah, BH menjadi rujukan rakyat Malaysia melalui kandungan eksklusif serta menyatukan informasi dan hiburan dalam satu platform.

ABPBH 37 menampilkan kategori 16 kategori utama dan lima kategori ekstra. Selain trofi utama, Bintang Paling Popular, ABPBH juga memberi pengiktirafan kepada anak seni yang banyak menabur jasa kepada industri hiburan iaitu Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.

BERITA TERKINI