Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Semangat Tuah jadi calon Top 20

08 Nov 2020 | Zaidi Mohamad

KUALA LUMPUR: Pencalonan dalam kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 memberi semangat kepada Tuah Adzmi untuk terus berjuang.

Mengaku namanya belum kuat bertapak, Tuah yakin suatu hari nanti, masanya akan tiba mencipta kejayaan.

"Dalam apa sahaja suratan hidup, saya bersyukur adanya peristiwa indah. Dicalonkan dalam kalangan Top 20 sudah memberi semangat untuk saya terus berjuang.

"Biarpun belum ramai yang kenal nama saya, bakat ini tetap disedari," katanya kepada BH Online.

Tuah atau nama sebenar, Arumi Nafiz Mohd Adzmi, 22, muncul dengan single, Insan Kau Cinta dan terbaru, Kecewa. Anak muda ini boleh bermain piano dan keyboard sejak berusia 13 tahun.

Tuah berkata, dia mendapat sokongan daripada kelab peminatnya, Tuah Adzmi Lovers.

"Peminat bertungkus-lumus mengundi saya. Mana-mana peminat pun mahu artis kesayangan menang. Mereka mengundi dan melobi saya tanpa kenal erti jemu dan penat.

"Setiap hari mereka berkongsi aktiviti mengundi dengan saya," katanya.

Tuah mengaku ‘kecut perut’ berdepan penyanyi senior dalam program realiti, Vokal Mania terbitan TV3. Foto Ihsan Tuah Adzmi
Tuah mengaku ‘kecut perut’ berdepan penyanyi senior dalam program realiti, Vokal Mania terbitan TV3. Foto Ihsan Tuah Adzmi

Sementara itu, Tuah berharap penyertaannya dalam program realiti, Vokal Mania terbitan TV3 menjadi batu loncatan untuk terus belajar dan menimba pengalaman.

"Saya harap pertandingan itu menjadi medium terbaik untuk saya mengasah bakat dan menonjolkan diri yang sebenar.

"Ketika mula ditawarkan, saya masih kabur apa yang mahu ditonjolkan. Hanya selepas uji bakat dan layak, baru saya tahu peserta perlu berdepan dengan empat penyanyi iaitu Aina Abdul, Indah Ruhaila, Tomok dan Lan Solo.

"Saya mula 'kecut perut' hendak berlawan dengan bakat hebat. Iyalah, saya masih hijau dalam arena seni," katanya.