KUALA LUMPUR: Pendekatan berasaskan ilmu dan pendidikan dilihat lebih wajar dalam menangani isu pementasan seni membabitkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), berbanding tindakan menghukum secara melulu.
Pelakon, pengarah dan aktivis teater, Sabri Yunus menegaskan pelajar IPT yang terbabit dalam pementasan seni tidak seharusnya dihukum tanpa pertimbangan, sebaliknya perlu dididik dan dibimbing dengan kefahaman yang betul.
Sabri atau nama sebenarnya, Mohd Sabri Yunus, 65, berkata mereka yang berada di universiti adalah golongan yang sedang menuntut ilmu dan sewajarnya dibentuk melalui pendekatan berteraskan pendidikan.
"Mereka di universiti masih dalam proses belajar dan mempunyai ilmu. Jadi mereka perlu dididik, dan jika perlu dihukum, biarlah dengan cara ilmu juga.
"Pada saya, kita berbalik kepada diri sebagai orang Islam. Apa pun seni mesti bersandarkan hukum-hakam agama. Walaupun seni itu dianggap bebas, tetapi dalam Islam, seni tidak akan menjadi bebas sepenuhnya.
"Seni tetap mempunyai batas yang ditetapkan agama," katanya ketika ditemui pada Malam Gala dan Tayangan Perdana filem Libang Libu di GSC MidValley Megamall, di sini, semalam.
Sabri turut memberi contoh perbezaan pendekatan seni antara Barat dan masyarakat Islam.
"Saya bagi contoh, di Barat, pelajar seni melukis boleh duduk beramai-ramai dan melukis model bogel tanpa sebarang rasa lain kerana ia dianggap seni.
"Namun, dalam konteks kita di Malaysia dan dalam Islam, perkara itu tetap tidak boleh dilakukan walaupun atas alasan seni," katanya.
Menurut Sabri, setiap penggiat seni perlu mempunyai kesedaran sendiri terhadap batas yang perlu dipatuhi dalam berkarya.
"Walaupun kita tidak mempunyai sebarang niat atau rasa, perkara itu tetap tidak boleh kerana batas kita jelas.
"Tidak kira sama ada dalam bidang lukisan, teater atau apa sahaja, kesedaran terhadap batas itu sangat penting," katanya.
Mengulas isu tular membabitkan pementasan teater di sebuah universiti awam, Sabri berpendapat tindakan menghukum semua pihak bukan penyelesaian terbaik.
"Dalam isu ini, saya melihat orang yang merakam dan menyebarkan perkara itu ada peranannya kerana ia membuka ruang untuk masyarakat mengetahui.
"Namun, saya merasakan tidak perlu menghukum pelajar, penganjur atau pihak fakulti.
"Sebaliknya, semua pihak perlu mengambil iktibar dan meningkatkan kesedaran pada masa akan datang," katanya.
Sabri berkata, hukuman selepas kejadian berlaku tidak lagi memberi kesan signifikan, malah berpotensi menjejaskan perkembangan kreativiti pelajar.
"Hukuman itu melemahkan. Tambahan pula mereka masih muda dan sedang belajar, jadi ia boleh menyekat kreativiti kerana mereka akan takut untuk berkarya," katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai pementasan teater oleh sebuah kumpulan di universiti awam yang didakwa mengandungi unsur tidak senonoh serta melanggar norma kesopanan, selain bercanggah dengan nilai dan sensitiviti agama Islam.