KUALA LUMPUR: Filem Mikael: Pemburu Dua Alam yang memaparkan konflik antara mahkluk dari dua alam berbeza, iaitu manusia dan jin, tidak berdepan syarat potongan babak daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF).
Mengetengahkan cerita berkisar usaha Penguasa Jin yang mahu menakluk kehidupan manusia dengan beberapa adegan ngeri termasuk dialog berbaur mantera bagi tujuan pemujaan, diluluskan dengan Klasifikasi 16, iaitu untuk naskhah boleh ditonton individu berumur 16 tahun ke atas.
Pengarah filem Mikael: Pemburu Dua Alam, Zahir Omar berkata, kumpulan produksi sudah memastikan beberapa aspek penting dipatuhi, termasuk meletakkan penafian jelas pada awal tayangan bahawa karya itu adalah berbentuk fantasi dan hiburan kepada penonton.
"Tiada sebarang potongan dibuat LPF terhadap filem ini. Naskhah ini terus diberi klasifikasi 16. Kami juga meletakkan penafian bahawa semua watak dan jalan cerita adalah fiksyen semata-mata.
"Selagi penafian itu jelas, LPF memahami karya ini tidak merujuk kepada realiti, sebaliknya, dibangunkan sebagai naskhah fantasi untuk hiburan," katanya pada sidang media sempena malam gala dan tayangan perdana filem itu di GSC Midvalley Megamall di sini, baru-baru ini.
Mengulas idea di sebalik penerbitan karya itu, Zahir yang terkenal dengan filem Fly by Night pada 2018 berkata, inspirasi awal tercetus daripada petikan yang menceritakan mengenai Malaikat Jibril.
"Filem ini bermula daripada satu ayat mengenai Malaikat Jibril yang ditanya mengapa dia tidak pernah tersenyum. Jawapannya, Mikail berhenti tersenyum sejak neraka diciptakan.
"Dari situ, kami mula membayangkan satu karakter bernama Mikael dan mengembangkannya dalam bentuk penceritaan," katanya.
Tambah Zahir, idea itu kemudian diperhalusi bersama penerbit June Tan dengan usaha menghasilkan naskhah yang mampu memenuhi selera penonton tempatan.
"Kami berbincang bagaimana mahu menghiburkan penonton Malaysia. Mereka sukakan aksi, seram dan komedi, jadi, kami gabungkan ketiga-tiga elemen itu dalam satu genre. Dari situlah lahirnya Mikael: Pemburu Dua Alam," katanya.
Zahir berkata. pemilihan pelakon turut memainkan peranan penting dalam memastikan kekuatan penceritaan dapat diterjemahkan dengan berkesan di layar perak.
"Kami mulakan dengan mencari 'kapten' dan pilihan itu jatuh kepada Datuk Remy Ishak. Malah, sejak menulis skrip lagi, watak itu memang dibayangkan untuknya.
"Selepas itu, kami kumpulkan barisan pelakon yang bukan sahaja berbakat, tetapi juga profesional, santai, tidak beremosi dan bebas daripada ego," katanya.
Mikael: Pemburu Dua Alam dipersembahkan oleh gabungan produksi terkemuka iaitu Act 2 Pictures, Golden Screen Cinemas GSC), Astro Shaw, Katalyst Connections, SunStrong Entertainment dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Kementerian Komunikasi.
Mula ditayangkan pada 2 April lalu, karya berkenaan menampilkan Remy sebagai teraju utama dengan dibantu barisan pelakon sepertu Norreen Iman, Fabian Loo, Alicia Amin, Ahirine Ahirudin, Megat Sharizal Anas Ridzuan dan Amir Nafis.
Mikael: Pemburu Dua Alam mengisahkan seorang anggota polis elit bernama Mikael yang masih bergelut dengan kehilangan adiknya selepas terjebak dalam dunia ghaib.
Mikael dipanggil untuk menyiasat satu kejadian pembunuhan beramai-ramai semasa majlis perkahwinan di sebuah bandar kecil. Dia mendapati kuasa jahat di sebalik insiden itu apabila seorang Penguasa Jin mahu menguasai dunia.