BERITA ABPBH

Memori God is the Light

17 Apr 2026 | Affan Rostam

PUTRAJAYA: Pertemuan tiga bekas anggota kumpulan Raihan, iaitu Nazrey Johani, Amran Ibrahim dan Afad bersama ikon seni dan dakwah dari United Kingdom (UK), Yusuf Islam, baru-baru ini membuka lembaran nostalgia yang cukup bermakna.

Pertemuan yang direalisasikan atas undangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan itu menjadi ruang untuk mereka mengimbau kembali kenangan lama, terutama ketika Raihan berpeluang merakamkan lagu God is the Light di studio Yusuf di London, United Kingdom (UK) pada 1997.

Mengulas mengenai pertemuan itu, Nazrey menyifatkan detik itu bukan sahaja menghidupkan nostalgia, malah, memberi makna mendalam terhadap perjalanan dakwah melalui muzik yang pernah mereka lalui bersama.

"Kami bercerita mengenai memori ketika merakamkan lagu God is the Light di London dahulu. Yusuf beritahu, lagu itu pada asalnya beliau hendak beri sahaja kepada Raihan dan kami yang menyanyikannya.

"Tetapi disebabkan kami ada rezeki datang ke London atas jemputan beliau, jadi, kami minta beliau sendiri yang menyanyikan lagu itu.

"Alhamdulillah, rakaman lagu itu berlaku pada 1997 dan secara tidak langsung memberi semangat baharu kepada beliau. Setahun selepas itu, Yusuf tampil dengan lagu Tala'a Al-Badru'Alayna," katanya kepada BH Online.

Menurut Nazrey, selepas memeluk Islam, Yusuf yang sebelum ini dikenali sebagai ikon rock, Cat Stevens, meninggalkan dunia hiburan dalam tempoh agak lama sebelum kembali aktif dengan pendekatan dakwah melalui muzik.

"Sejak memeluk Islam, beliau memang meninggalkan bidang hiburan dalam tempoh agak lama. Selepas berjumpa dengan kami dan merakamkan lagu bersama, Yusuf mendapat kekuatan baharu.

"Beliau mungkin berfikir tidak akan menyentuh bidang muzik lagi, tetapi selepas itu, Yusuf mendapat semangat untuk menghasilkan album pertamanya," katanya.

Mengulas lanjut, Nazrey berkata, ketika pertemuan itu, Yusuf masih mengenali mereka, selain diserikan dengan momen spontan apabila menyanyikan kembali lagu yang pernah dirakam bersama.

"Alhamdulillah, beliau masih kenal. Kami juga sempat menyanyikan serangkap lagu God is the Light. Saya nyanyikan serangkap dan beliau sambung menyanyi walaupun beliau sendiri pun tak berapa ingat liriknya.

"Indahnya pertemuan itu apabila seorang yang ternama dan dihormati seperti beliau dengan senang hati menyambung lagu itu. Beliau sangat gembira dan kami juga menceritakan kisah-kisah semasa rakaman di London dulu," katanya.

Walaupun pertemuan berlangsung dalam suasana formal, Nazrey berasakan Yusuf tahu dirinya bersama Amran dan Afad sudah tidak lagi bergerak di bawah payung Raihan.

"Kami berbual seperti biasa sahaja sebab pertemuan itu agak formal. Tetapi, saya fikir beliau tahu (soal kumpulan ANA The Rayhan), sebab waktu beliau diminta menandatangani buku kedatangan, beliau ada tulis sesuatu seperti 'Welcome back'.

"Mungkin beliau tahu tapi tidak bertanya lanjut, beliau faham," katanya.

Pada masa sama, Nazrey berkata, pertemuan itu turut membuka ruang kepada perbincangan mengenai perancangan masa depan bersama Zulkifli membabitkan industri hiburan Islam.

Katanya, ada perancangan awal untuk menganjurkan festival hiburan Islam berskala besar yang bakal menghimpunkan tokoh penting dalam bidang berkenaan.

"Pada dasarnya, Kementerian Hal Ehwal Agama ada perancangan untuk menganjurkan festival lagu atau festival hiburan Islam yang akan membabitkan Yusuf.

"Perancangan itu ada, cuma belum pasti bagaimana bentuknya lagi.

Secara lisannya, itulah yang dirancang Kementerian Hal Ehwal Agama dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan TV AlHijrah.

"Program ini bakal membabitkan tokoh penting di Malaysia untuk menjayakan festival itu. Jadi, dengan adanya Yusuf, beliau juga dapat idea yang sama untuk merancang bersama.

Terdahulu, Zulkifli menyifatkan pertemuan dengan Yusuf sebagai momen penuh makna apabila mereka berbincang mengenai pelbagai idea untuk memperkasa pendekatan dakwah berteraskan seni.

Menerusi hantaran di Facebook (FB), Zulkifli berkata, perbincangan bersama Yusuf tertumpu kepada usaha menggerakkan dakwah dalam kalangan anak muda serta merentas budaya.

Yusuf atau nama asalnya, Steven Demetre Georgiou bergiat aktif dalam dunia muzik sejak 1966 hingga 1978 sebelum memeluk Islam dan meninggalkan kerjaya itu bagi memberi tumpuan kepada pendidikan untuk masyarakat Muslim.

Pada 2006, beliau kembali ke persada muzik dengan album yang mengandungi lagu pop serba baharu berjudul An Other Cup.

Selepas memeluk Islam, Yusuf merakamkan beberapa album kerohanian seperti Prayers of the Last Prophet pada 1999; A is for Allah pada (2000); I Look, I See (2003); Footsteps in the Light (2006); The Story of Adam and the Creation (2014) dan I Have No Cannons That Roar (2019).