Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Ira dipanggil JAWI, hidup Puteri Sarah aman tanpa gangguan

30 Aug 2022 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Pelakon, Puteri Sarah Liyana, 37, mengesahkan wanita yang didakwa mengganggu rumah tangganya iaitu Ira Kazar sudah dipanggil Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), minggu lalu.

Puteri Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berkata, Ira dipanggil bagi membantu siasatan berhubung tindakan saman yang difailkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di JAWI serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) penghujung Jun lalu.

"Ya, dia sudah beri keterangan dan sekarang pegawai JAWI sedang melakukan siasatan. Proses ini mengambil masa untuk dikaji. Jadi, Insya-Allah proses akan ke tahap seterusnya.

"Namun, proses seterusnya, kena tunggulah. Saya tak boleh berkongsi kerana masih dalam proses siasatan kes gangguan orang ketiga. Manakala, kes di Mahkamah Sivil juga sedang berjalan untuk dakwaan orang ketiga," katanya kepada BH Online.

Puteri Sarah ditemui pada sidang media teater Maduku Terpaling Kalut di sebuah hotel, petang tadi.

Puteri Sarah kini tidak diganggu dalam laman sosial selepas aduan dibuat. - NSTP/Rohanis Shukri
Puteri Sarah kini tidak diganggu dalam laman sosial selepas aduan dibuat. - NSTP/Rohanis Shukri

Melihat perkembangan kes aduannya itu, Puteri Sarah lega apabila segala-galanya berjalan dengan baik.

"Saya lega ada perkembangan baik. Saya mohon doakan kemenangan pada pihak saya.

"Ini demi keadilan untuk saya dan anak-anak. Kes ini mungkin mengambil masa yang panjang, tetapi Alhamdulillah, ia berjalan.

"Saya tak kisah menunggu lama, asalkan apa yang diusahakan berjalan," katanya.

Tambah Puteri Sarah, dia kini tidak diganggu dalam laman sosial selepas aduan dibuat.

"Tiada gangguan sebab saya sudah memberikan injuksi. Jadi, mereka tidak boleh berkomunikasi langsung dengan saya dan mendekati keluarga saya.

"Kalau ada, saya akan beritahu peguam saya. Hidup saya lebih aman dan damai," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Ira ditahan pihak JAWI pada 18 Ogos lalu.

Sebelum itu, Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail mengesahkan Ira hadir memberi keterangan berhubung gangguan orang ketiga dalam rumah tangga pada 20 Ogos lalu.