BERITA ABPBH

Gitaris Duran Duran Andy Taylor meninggal dunia akibat kanser prostat

26 Nov 2026 | Susunan Farihad Shalla Mahmud

LOS ANGELES: Gitaris dan penulis lagu kumpulan pop rock terkenal, Duran Duran, Andy Taylor, meninggal dunia pada usia 65 tahun akibat kanser prostat metastatik, Isnin lalu.

Berita kematian pemuzik yang juga anggota kumpulan itu diumumkan menerusi kenyataan bersama keluarganya dan bekas rakan sekumpulan yang dikeluarkan, Rabu lalu.

Memetik laporan reuters, Taylor disahkan menghidap kanser prostat pada 2018 dan meninggalkan sumbangan besar dalam perjalanan muzik Duran Duran menerusi penghasilan beberapa lagu popular termasuk Hungry Like the Wolf, Rio dan Girls on Film.

Dalam kenyataan itu, isterinya, Tracy Wilson-Taylor, mewakili keluarga menyifatkan Allahyarham bukan sahaja gitaris berbakat besar, malah suami penyayang, bapa yang baik serta datuk yang amat membanggakan.

"Bagi dunia, Andy ialah gitaris yang hebat, tetapi bagi kami, dia suami paling istimewa, bapa penyayang dan datuk yang paling berbangga dengan keluarganya," katanya.

Sementara itu, anggota Duran Duran iaitu Simon Le Bon, Nick Rhodes, John Taylor dan Roger Taylor dilaporkan turut menyifatkan pemergian Andy sebagai kehilangan besar buat kumpulan berkenaan.

Mereka berkata, kehadiran Andy sejak awal penubuhan Duran Duran memberikan warna tersendiri kepada identiti muzik kumpulan itu.

"Andy berada bersama kami sejak permulaan perjalanan ini. Sejak dia tiba di Birmingham dari kawasan timur laut England dengan gitar dan keyakinan teguh terhadap potensi kami, dia membawa semangat serta karisma yang sukar dilupakan dalam muzik kami," menurut kenyataan itu.

Mereka turut memuji keberanian dan ketabahan Andy menghadapi penyakit berkenaan, selain menyifatkan Allahyarham menjalani perjuangan melawan kanser dengan penuh kejujuran dan bermaruah.

Duran Duran yang meraih pengiktirafan Anugerah Grammy turut diiktiraf sebagai anggota Rock and Roll Hall of Fame, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka dalam sejarah muzik antarabangsa.

Dilahirkan pada 1961 di Tynemouth dan dibesarkan di Cullercoats, Northumberland, Andy mula mempelajari gitar ketika berusia 11 tahun.

Minat mendalam terhadap muzik mendorongnya meninggalkan alam persekolahan untuk mengadakan persembahan di England dan Eropah bersama beberapa kumpulan sebelum berpindah ke Birmingham.

Pada 1980, beliau dilaporkan menyertai Duran Duran yang kemudian menandatangani kontrak rakaman bersama EMI Records.

Kumpulan itu melancarkan album sulung berjudul Duran Duran pada 1981 yang mendapat sambutan di United Kingdom sebelum meraih populariti antarabangsa menerusi album Rio pada 1982.

Selepas mencipta nama bersama kumpulan itu, Andy turut mengembangkan kerjaya solo dengan melancarkan album studio sulungnya, Thunder, pada 1987.

Mendiang meninggalkan empat cahaya mata hasil perkahwinan bersama Tracy Wilson-Taylor.- REUTERS