Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Fran, Jaclyn sambut Krismas sederhana

25 Dec 2022 | Affan Rostam

KUALA LUMPUR: Sambutan secara sederhana tetap menjadi pilihan bintang era 1980-an, Francissca Peter dan juara musim kesembilan Gegar Vaganza (GV9), Jaclyn Victor dalam meraikan Krismas, biarpun tiada sekatan dikenakan dalam fasa peralihan endemik COVID-19.

Bagi Francissca, 61, atau lebih mesra disapa Fran, sambutan secara sederhana jadi pilihan berikutan masih ada ahli keluarga yang mengalami simptom COVID-19 berpanjangan selain perlu memastikan kesihatan ibu terjaga.

Pada masa sama, penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 pada 2020 itu bimbang terhadap penularan wabak COVID-19 dan tidak mahu mengambil sebarang risiko.

"Kami meraikan bersama keluarga sahaja selama tiga tahun berturut-turut. Kami perlu melindung ibu dan ahli keluarga yang mempunyai masalah kesihatan seperti lelah, tekanan darah tinggi dan beberapa penyakit lain.

"Disebabkan itu, persiapan secara kecil-kecilan sahaja yang dibuat seperti memasak dan membeli-belah untuk hadiah pada saat-saat akhir.

"Memang sedih sebab sambutan masih sederhana dan tidak dapat menjemput sahabat ke rumah.

Francissca memilih menyambut Krismas secara sederhana bagi menjaga kesihatan ibu dan ahli keluarga yang lain. Foto IG Francissca Peter
Francissca memilih menyambut Krismas secara sederhana bagi menjaga kesihatan ibu dan ahli keluarga yang lain. Foto IG Francissca Peter

"Ini disebabkan penularan wabak COVID-19 yang masih dilaporkan ketika ini," katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, penyanyi yang popular dengan lagu Sekadar Di Pinggiran itu mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada rakyat Malaysia yang meraikannya dan berdoa agar setiap orang beroleh kebaikan dalam menempuhi 2023.

"Untuk tahun depan, saya mendoakan perpaduan, kesihatan yang terbaik untuk keluarga, peminat, rakan-rakan dan untuk diri sendiri.

"Saya berdoa agar Malaysia yang dicintai bebas daripada segala rasuah, semoga kita saling memahami, hormat-menghormati, sentiasa berbaik hati dan ekonomi bertambah baik.

"Semoga kita semua diberi rezeki yang lebih dan mencukupi serta saling mengambil berat antara satu sama lain selama-lamanya," katanya.

Sementara itu, Jaclyn, 43, menyifatkan Krismas tahun ini lebih seronok kerana masih berpeluang meraikannya bersama keluarga tercinta.

"Persiapan Krismas seperti biasa. Saya dan anak-anak menghias pokok Krismas di rumah, membeli hadiah dan buat pelbagai aktiviti.

"Tahun ini saya merasakan lebih seronok sebab anak saya pun sudah mula faham mengenai sambutan Krismas.

"Cuma saya bersyukur kerana masih dapat meluangkan masa bersama ahli keluarga yang lain. Sambutan juga boleh diadakan seperti biasa dan itu membuatkan saya gembira," katanya.

Menurut Jaclyn, sambutan Krismas mempunyai makna yang besar buat dirinya kerana dianggap jalan untuk kembali mengeratkan hubungan bersama keluarga.

"Mungkin sesetengah orang menganggap Krismas hanya hias pokok, bertukar hadiah dan Santa Claus. Tetapi apa yang saya boleh cakap sebenarnya Krismas adalah lebih daripada itu.

"Sebagai contoh, kita akan ada lebih masa untuk keluarga dan membuatkan kita kembali bersama selepas masing-masing sibuk dengan kerja atau pelbagai urusan lain," katanya.