Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Pelakon, Fendy Bakry, 34, enggan peminat bosan dengan penampilan sebagai hero drama romantik, justeru cuba mewarna profil lakonan dengan menjayakan naskhah komedi.
Bagaimanapun, Fendy berkata, bukan mudah menjayakan drama komedi memandangkan dirinya bukan seorang pelakon komedi berpengalaman.
"Cabaran menjayakan watak komedi apabila saya tidak tahu apa yang disampaikan boleh diterima atau sebaliknya.
"Namun, saya tidak mahu hanya fokus pada kisah cinta sahaja. Saya gusar peminat akan 'cop' saya sebagai pelakon romantik.
"Jadi, sebolehnya saya mahu menyeimbangkan naskhah lakonan dan mempelbagaikan genre lakonan," katanya kepada BH Online ketika ditemui pada sidang media drama komedi terbaru, Guard Komando siaran TV3.
Selepas menjayakan Guard Komando, Fendy berkata, dia terbuka menerima tawaran menjayakan drama komedi sekiranya berpeluang.
"Saya seronok dan akan mempertimbangkan watak komedi selepas ini.
"Kalau cerita menarik dan diberi peluang bekerjasama dengan pelawak terkenal, saya tiada masalah untuk menerima tawaran.
"Sebelum ini, saya pernah membintangi drama komedi, tetapi bezanya kali ini dikelilingi pelawak terkenal," katanya.
Kata penyandang trofi Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 itu, dia tidak merasakan dirinya mempunyai sisi komedi, justeru membiarkan penonton menilai sendiri.
"Kalau cakap ada sisi komedi dalam diri, macam angkat bakul sendiri. Jadi, biarlah penonton menilai sendiri.
"Kadang-kadang saya rasa lawak, tetapi penonton pula sebaliknya. Jadi, apa yang dipersembahkan biar penonton membuat penilaian," katanya.
Berkongsi lanjut mengenai drama itu, Fendy berkata, dia seronok bekerjasama dengan pelawak popular seperti Mark Adam, Shamsul Ghau Ghau dan Jiggy Masin.
Malah, katanya, dia merindui untuk kembali bekerjasama dengan mereka yang sangat senang dibina, malah hubungan tidak ubah sebagai satu keluarga.
"Sebelum masuk set, saya berfikir dan bertanya isteri boleh atau tidak saya buat lawak. Sebabnya, mereka sinonim dengan lawak semula jadi.
"Jadi, bila saya dapat skrip, saya percaya boleh buat. Di lokasi, saya tak boleh buat hal sendiri, sebaliknya duduk bersama mereka.
"Alhamdulillah, tak susah untuk kami bekerjasama. Bila datang set, kami seperti keluarga, duduk bersembang dan melakukan latihan bersama.
"Saya bertuah dikelilingi pelawak yang orang kenal, sebab kami banyak berbincang untuk menjayakan adegan ekoran mahu impak kepada lakonan," katanya.
Justeru, Fendy berharap drama Guard Komando menjadi buah mulut apabila ditayangkan.
Guard Komando bakal bersiaran di slot Diandra, TV3, setiap Khamis dan Jumaat, jam 8.30 malam, mulai mulai 28 Julai ini. Ia juga dapat disaksikan dengan strim langsung dalam HD di www.tonton.com.my.
Drama bersiri 20 episod itu diterbitkan Orangetree Production Sdn Bhd diarahkan Mp Roslin Md Sharif, skrip oleh Amin Shakib dan Azmy Ariff.