Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

'Denyut' cetus kontroversi

29 Jul 2022 | Farihad Shalla Mahmud

KUALA LUMPUR: Teguran pempengaruh media sosial yang juga guru Bahasa Malaysia, Cikgu Zack Kirana terhadap penggunaan istilah 'denyut' bagi menggambarkan jantung berdebar dalam lirik lagu 'trending', Casablanca, dendangan Nuha Bahrin dan Naufal Azrin, mencetuskan perdebatan netizen.

Sejak single Casablanca 'meledak' hingga muncul lagu pertama tempatan paling tular dengan menduduki tangga teratas carta Spotify Viral 50 Global dan Spotify Viral 50 Indonesia, apa sahaja topik berkaitan lagu berkenaan pantas menarik perhatian netizen.

Kontroversi tercetus apabila sebaris ayat berbunyi 'denyut jantung ku berdebar' dalam lirik nukilan Daqmie dan Abdulkarim Al Ali itu ditegur Cikgu Zack Kirana melalui platform media sosial.

Cikgu Zack Kirana atau nama sebenar, Saliza Ibrahim menganggap istilah yang lebih tepat bagi menggambarkan debaran jantung adalah degup.

Namun, pandangan beliau disanggah beberapa personaliti media sosial lain. Mereka berpendapat tiada salahnya istilah denyut digunakan kerana membawa makna serupa.

BH mendapatkan pandangan penulis lirik tersohor dan pakar bahasa berhubung istilah yang sesuai digunakan dalam polemik single Casablanca.

Habsah berpendapat kontroversi lagu Casablanca dengan lirik dihasilkan Daqmie dan Abdulkarim Al Ali itu tercetus disebabkan penggunaan istilah yang tidak tepat.
Habsah berpendapat kontroversi lagu Casablanca dengan lirik dihasilkan Daqmie dan Abdulkarim Al Ali itu tercetus disebabkan penggunaan istilah yang tidak tepat.

Penulis lirik tersohor, Datuk Habsah Hassan berpendapat kontroversi lagu Casablanca dengan lirik dihasilkan Daqmie dan Abdulkarim Al Ali itu tercetus disebabkan penggunaan istilah yang tidak tepat.

"Untuk jantung, kita gunakan perkataan degup. Denyut pula untuk menggambarkan rasa sakit seperti terkena bisul atau luka pada bahagian tubuh.

"Walaupun daripada segi penggunaan bahasa dan pengertiannya memang tidak tepat, namun, disebabkan wujudnya lesen 'puitika', pengkarya dibenar melanggar hukum tatabahasa.

"Bukanlah hendak kata penulis perlu hasilkan lirik seperti dalam karangan. Tetapi secantik-cantiknya atau seelok-eloknya biarlah istilah yang kita gunakan itu betul," kata penerima Anugerah Sepanjang Hayat, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 ini.

Habsah atau lebih akrab disapa Kak Chah berkata, individu yang memandang serius bidang penulisan ini perlu memperkayakan perbendaharaan kata agar karya mereka bukan sahaja mudah difahami, malah, indah dari sudut penggunaan bahasa.

"Sebagai penulis, perkara yang menjadi keutamaan adalah cerita atau kandungan lirik. Jika tiada penceritaan, tidak adalah bahasa atau istilah.

"Kita juga kena tahu, siapa sasaran pendengar lagu itu. Jika sasarannya kanak-kanak, kita kenalah gunakan bahasa yang sesuai dengan golongan itu.

"Kalau sasarannya orang dewasa, lain pula gaya bahasanya. Jika kita ambil bidang ini secara serius, maknanya kita perlu berhati-hati apabila menulis," katanya.

Dr Nik Safiah menjelaskan lesen ‘puitika’ yang diberi kepada penulis kreatif membenarkan mereka melanggar hukum tatabahasa.
Dr Nik Safiah menjelaskan lesen ‘puitika’ yang diberi kepada penulis kreatif membenarkan mereka melanggar hukum tatabahasa.

Seperkara lagi, tambah Habsah, pengkarya perlu tanamkan dalam diri bahawa pendengar lagu merangkumi pelbagai kelompok seperti yang berlaku dalam kontroversi single Casablanca.

"Siapa sangka ada golongan cendekiawan yang mendengar lagu ini dan memberi pandangan. Justeru, untuk mengelak kontroversi, pengkarya sepatutnya memperluaskan lagi perbendaharaan kata.

"Jika kita boleh pilih istilah betul, kenapa kita hendak buat pemilihan yang tidak tepat," katanya.

Berkongsi pendapat sama dengan Habsah, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim menjelaskan lesen 'puitika' yang diberi kepada penulis kreatif membenarkan mereka melanggar hukum tatabahasa.

Namun, Nik Safiah berkata, kebebasan yang diberikan bukanlah lesen untuk mereka membuat kesilapan sama secara berterusan.

"Bagi saya, perkataan jantung berdenyut itu lebih bersifat fizikal kerana menggambarkan keadaan jantung yang kembang-kempis.

"Tetapi kalau istilah degup itu, ada unsur emosi di situ kerana menggambarkan seseorang yang dalam kesakitan dan berada di alam percintaan.

"Dalam apa-apa penggunaan bahasa, kalau kita hendak tekankan mesej yang jelas dan bahasa yang baik, kenalah guna bahasa yang mematuhi peraturan tatabahasa.

"Tetapi dalam seni seperti seni lagu dan puisi, kadang-kadang pengkarya diberi sedikit kebebasan atas nama lesen berpuisi untuk melencong demi keindahan karya mereka.

"Namun, pelanggaran tatabahasa perlu ada batasan iaitu sekali sahaja, bukannya tiap-tiap baris lirik. Kelonggaran ini juga tidak termasuk dalam penulisan karangan ataupun surat rasmi," katanya.

Ahmad Fedtri mengaku ada ketika, penulis lirik berdepan dilema antara tanggungjawab memartabatkan bahasa dan menghasilkan lirik puitis yang tidak janggal didengar.
Ahmad Fedtri mengaku ada ketika, penulis lirik berdepan dilema antara tanggungjawab memartabatkan bahasa dan menghasilkan lirik puitis yang tidak janggal didengar.

Mewakili generasi baharu dalam bidang penulisan lirik, Ahmad Fedtri Yahya mengaku ada ketika, penulis lirik berdepan dilema antara tanggungjawab memartabatkan bahasa dan menghasilkan lirik puitis yang tidak janggal didengar.

"Proses untuk menghasilkan lirik, bukanlah seperti menulis buku teks. Kadang-kadang, tulisan kita ada yang sedap dibaca tetapi apabila dinyanyikan jadi lain.

"Ada ketika, apabila kita tulis mengikut tata bahasa atau istilah betul, tidak kena pula dengan melodi hingga terpaksa ditukar agar 'catchy," katanya.

Justeru, untuk melahirkan lebih ramai penulis lirik berkualiti, Ahmad Fedtri menyarankan badan berkaitan dengan bidang penulisan lirik menganjurkan majlis ilmu.

"Mungkin pihak seperti Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) boleh menganjurkan majlis dialog bersama penulis lirik," katanya.

Sejak ditayangkan di YouTube pada 4 Jun lalu, video muzik lagu Casablanca meraih lebih 11 juta tontonan.

Turut menduduki tangga teratas Spotify Viral 50 Malaysia, Joox Malay Hits, Carta Top 10 RIM dan 100 Top Apple Music sejak dilancarkan 4 Jun lalu.