Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: British Publishing House (BPH) Ltd yang menerbitkan edisi keempat ensiklopedia biografi, Britishpedia menyenaraikan anggota kumpulan nasyid UNIC, Dr Fitri Haris sebagai individu paling berjaya di Malaysia pada 2022.
Fitri yang juga ahli akademik yang bertugas di Universiti Utara Malaysia (UUM) dilaporkan dinilai berdasarkan sumbangan kepada masyarakat dan kepakaran dimilikinya.
Fitri mengakui proses dilalui bukanlah mudah termasuk sesi temu bual yang diatur penerbit, tiga bulan lalu.
"Apabila mereka sudah kaji latar belakang dan pencapaian, barulah saya layak dimasukkan dalam ensiklopedia itu. Prosesnya sangat rapi dan profesional," katanya kepada BH Online.
Fitri berkata, pengiktirafan Britishpedia itu menjadi anugerah ketiga diterima dalam tempoh dua tahun.
"Sebelum ini, saya terima anugerah ASEAN Inspiring Awards 2021 di Surabaya, Indonesia dan Top Young CEO 2021 di Kuala Lumpur," kata bekas peserta musim kedua program realiti, Gegar Vaganza (GV2) ini.
Fitri tidak menduga pengalaman lebih dua dekad dalam dunia seni, perniagaan, penyelidik, perunding perniagaan, pemasaran, media dan akademik melayakkan dirinya diiktiraf BPH yang ditubuhkan pada 2013.
Fitri juga dilantik ikon pendidik untuk beberapa organisasi kemasyarakatan di Malaysia seperti Peduli Insan Malaysia dan Muslim Volunteer Malaysia.
Selain cemerlang dalam bidang akademik, Fitri aktif dalam misi bantuan kemanusiaan bagi pelarian Syria di Lebanon, menolong mangsa banjir di Malaysia dan banyak projek amal lain.
Fitri juga terbabit dalam kajian muzik Islam melalui modul 'This is Nasyid' hasil kerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM).
Projek itu dianggap legasi ilmu yang boleh dimanfaatkan pada peringkat antarabangsa dalam memperkenalkan muzik Islam dengan lebih meluas dalam konteks 'musicology' dan 'ethnomusicology'.
"Saya tidak mahu bergerak sendirian dan sedang merangka menubuhkan institut yang akan memperkenalkan bidang baharu dalam dunia akademik tempatan dan dunia amnya," kata Fikri.
Selain itu, Fitri aktif dalam dunia perniagaan termasuk membuka cawangan restoran Amazing Thai di Nottingham, UK; butik kelengkapan haji dan umrah di bawah jenama Haqqi dan Al-Mukarramah dan pemaju perumahan rizab Melayu di bawah syarikat Yanimas Jaya Sdn Bhd.
Selain itu, Fitri menjadi perunding media di beberapa syarikat dan organisasi di Malaysia serta menguruskan Megaklinik Zahran di Ampang bersama isteri.
Pengiktirafan 'Successful People In Malaysia 2022' dalam ensiklopedia, Britishpedia 2022 dijangka dilancarkan, akhir tahun ini.
Ensiklopedia itu boleh didapati di perpustakaan di seluruh Malaysia dan beberapa negara di dunia seperti Singapura, Jerman, Slovakia, Austria, Republik Czech, Hungary dan Poland.