BERITA ABPBH

Wani positif COVID-19

[email protected]

KUALA LUMPUR: Penyanyi Wani Kayrie, 21, disahkan positif COVID-19 selepas mengalami demam panas selama dua hari.

Wani berkongsi khabar duka itu menerusi hantaran dalam laman Instagram (IG), kira-kira dua jam lalu, hari ini.

"Saya dan pengurus disahkan positif COVID-19. Kami mengalami demam panas sejak dua hari lalu. Setakat ini, saya perlu menjalani kuarantin kendiri di rumah selama 10 hari mengikut nasihat doktor. 

"Antara gejalanya adalah demam panas, sakit kepala, batuk, selsema dan sakit tekak. Alhamdulillah, deria bau dan rasa masih ada. Namun, sakit teramat sakit, tak tipu," tulisnya.

Wani berkongsi khabar duka positif COVID-19 menerusi hantaran dalam IG, hari ini. - Foto IG Wani Kayrie
Wani berkongsi khabar duka positif COVID-19 menerusi hantaran dalam IG, hari ini. - Foto IG Wani Kayrie

Dengan itu, Wani menasihatkan agar sesiapa yang pernah berada dekat dengannya turut menjalani ujian calitan untuk langkah keselamatan.

"Sesiapa kontak rapat dengan saya dan pengurus, boleh menjalani ujian calitan untuk langkah berhati-hati.

"Saya mohon maaf atas segala kesulitan. Doakan agar kami cepat sembuh dan dapat bekerja seperti sedia kala," katanya.

Tambah penyanyi lagu Jangan Terlepas Pandang itu, dia percaya setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmah.

Wani turut mengingatkan kepada semua pengikut dalam media sosial untuk menjaga keselamatan diri dan berhati-hati. 

"Jagalah diri sebaik mungkin. Kita cuba dan ikhtiar apa yang mampu. Jaga diri semua," pesannya.