BERITA ABPBH

Wani bakat 'terlepas pandang'?

[email protected]

KUALA LUMPUR: Sedekad dalam industri seni, nama penyanyi dan pelakon, Wani Kayrie dilihat belum menyerlah dan meledak sepenuhnya.

Daripada bernaung di bawah Suria Records dan kini, beralih ke Rocketfuel Entertainment, Wani atau nama sebenarnya, Syazwani Abdullah disifatkan antara bakat yang terlepas pandang.

Pelbagai usaha dilakukan Wani termasuk menyertai dunia lakonan dan pengacaraan.

Menyimpulkan perjalanan baharu bersama Rocketfuel Entertainment, Wani yang baru sahaja diberi pendedahan bergandingan dengan penyanyi popular, Fauziah Latiff pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 kini tampil dengan single baharu berjudul Jangan Terlepas Pandang ciptaan MFMF dan Asyraf Nasir.

"Saya sedar masih ramai yang kurang mengenali nama Wani Kayrie. Namun, ia sedikitpun tidak mematahkan semangat untuk meneruskan perjuangan dalam meneruskan kerjaya seni.

"Single Jangan Terlepas Pandang bergenre pop dansa ini umpama suara hati saya.

"Saya akui, lebih matang dan berpendirian selepas hampir 10 tahun bergiat aktif dalam bidang seni.

"Mungkin kehadiran saya sebagai penyanyi tidak mendapat pengiktirafan sebanyak yang diinginkan. Namun, saya masih berharap untuk menjadi bintang utama dan tidak terlepas pandang," katanya kepada BH Online.

Finalis program realiti TV Big Stage 2018 dan Dansa Dan Sing 2020 itu berkata, dia meminati penyanyi antarabangsa seperti Beyonce Knowles, Jessie dan Agnez Mo.

Single Jangan Terlepas Pandang bergenre pop dansa ini umpama suara hati Wani.
Single Jangan Terlepas Pandang bergenre pop dansa ini umpama suara hati Wani.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Jangan Jangan itu percaya, penyanyi wanita perlu ada sifat kendiri dan semangat juang seperti yang ditonjolkan penyanyi hebat itu.

"Dalam erti kata lain saya tidak boleh cepat mengalah. Saya kagum dengan tiga penyanyi antarabangsa itu dan menjadikan mereka sebagai inspirasi kerana semangat memperkasakan wanita yang dipamerkan setiap kali beraksi atas pentas.

"Mereka bukan sahaja penyanyi, bahkan penghibur serba boleh dan sentiasa memberikan terbaik setiap kali membuat persembahan dengan idea di luar kotak.

"Ibu menjadi pendorong utama dalam kerjaya seni. Saya kagum semangat mama sebagai wanita yang cekal.

"Ini kerana terlalu banyak pengorbanan yang mama lakukan demi kerjaya saya," katanya.

Sementara itu, MFMF berkata, single Jangan Terlepas Pandang yang dicipta khas untuk Wani umpama merungkaikan kisah benar.

"Apa yang saya dan Asyraf cuba sampaikan melalui single Jangan Terlepas Pandang kepada pendengar adalah kenyataan masa untuk Wani bersinar sudah tiba.

"Ia menceritakan mengenai semangat dalam menonjolkan bakat dan kemampuan diri. Dan bagaimana mengatasi rintangan apabila merasa tewas.

"Selain itu, mesej sebagai pembakar semangat bagi individu yang pernah terlepas pandang biarpun mampu membuktikan diri mencapai lebih baik daripada apa yang disangkakan," kata MFMF.

Single Jangan Terlepas Pandang boleh dimuat turun di semua platform penstriman digital terpilih.