Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

'Usah leka dek pujian'

01 Oct 2019 | Farihad Shalla Mahmud

KUALA LUMPUR: Masih basah dalam ingatan penyanyi terkenal, Aishah, pesanan seorang teman selebriti ketika dia berada di New Zealand, suatu ketika dahulu.

Menurut Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 1990 itu, pesanan berbaur nasihat berkenaan antara lain menggesa dirinya agar tidak mudah leka dengan pujian apabila sudah berjaya.

Ternyata, selain kerja keras dan bakat semula jadi yang ada dalam diri, pilihannya untuk berpegang pada nasihat temannya itu antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan bintang berusia 54 tahun ini dalam meletakkan dirinya pada tahap sekarang.

Malah, Aishah dilihat antara ‘otai’ yang belum hilang bisanya, berdasarkan rekod cemerlang pernah ditunjukkan sebelum ini. Paling ketara apabila beliau masih mampu menyanyi dalam nota asal ketika menjayakan persembahan pada malam kemuncak ABPBH Ke-32, baru-baru ini.

Kehebatannya sehingga kini masih dikatakan oleh peminat, sekali gus menjadi contoh kepada penyanyi generasi baharu. Bidang nyanyian bukanlah sekadar populariti dan limpahan glamor semata-mata.

Menurut Aishah, menjadi anak seni bukan perkara yang harus dipandang enteng. Tegas bekas anggota Aishah and the Fun Club ini, penyanyi perlu bermuhasabah dan tanya pada diri sendiri, apakah niat mereka apabila memilih bidang seni sebagai punca rezeki?

“Ketika saya mula menyanyi di luar negara, seorang teman yang juga seorang artis memberi pesanan yang antara lain berbunyi, ‘untuk menjadi seorang penyanyi yang berjaya, kita jangan mudah lalai dengan pujian’.

“Sikap itu sangat bahaya kerana jika terlalu mabuk dengan pujian, suatu hari nanti, apabila kita tidak lagi mendengar kata-kata indah sebegitu, kita akan menjadi seorang yang hilang punca dan tak tentu arah. Apabila ia berlaku, bermulalah era kejatuhan kita.

“Justeru, kita tidak boleh terlalu berharap orang akan sentiasa memuji hasil kerja kita. Sebaliknya sebagai artis, kita kena terus memperbaiki diri dan jangan mudah berpuas hati. Apabila ada yang mengkritik, kita kena terima dengan hati terbuka. Komen negatif juga mampu mengubah diri kita menjadi lebih baik,” katanya kepada BH Online.

Menyifatkan dirinya seperti ibu kepada penyanyi generasi muda atau lebih dikenali dengan panggilan BBNU (budak baru nak up), Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin berkata, berdasarkan pengamatannya, kebanyakan mereka belum bersedia untuk menggalas tugas sebagai artis.

“Saya pernah merasai pengalaman mengadakan persembahan bersama mereka. Saya dapati, masing-masing bukan sahaja belum bersedia daripada segi mental, malah aspek fizikal. Masih banyak kelemahan daripada segi kualiti vokal. Semua itu belum termasuk penampilan diri dan soal menjaga hubungan dengan khalayak serta media.

“Saya bagaimanapun tidak sepenuhnya menyalahkan mereka kerana kebanyakannya masih muda. Sebahagiannya, masih berusia belasan tahun sudah menjadi penyanyi. Syarikat rakaman dan pengurusan juga perlu bertanggungjawab dalam hal ini. Merekalah yang patut memberikan panduan dan bimbingan kepada artis muda ini.

“Kalau kita melihat bakat di Korea, sebelum mereka menjadi artis, pihak pengurusan atau label akan memastikan masing-masing benar-benar bersedia. Perkara itulah yang membuatkan mereka diminati dan membezakan mereka dengan artis negara lain,” ujar penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Janji Manismu ini.

Kelahiran ramai penyanyi muda yang turut mempunyai bakat dalam bidang penciptaan lagu menandakan industri kita tidak pernah ketandusan komposer pelapis berbakat.

Bagaimanapun, penyanyi yang pernah menyaksikan lagunya dinobatkan pemenang Juara Lagu sebanyak dua kali ini berkata, pihak berkenaan tidak boleh menghasilkan karya sekadar melepaskan batok di tangga.

“Bukan semua, tetapi saya pernah mendengar lagu daripada segelintir komposer muda yang menghasilkan karya seperti untuk tujuan demo. Saya sedar mengenai perkara ini apabila perlu membuat pilihan lagu BBNU ingin dinyanyikan ketika bertanding dalam program Gegar Vaganza, dua tahun lalu.

“Apabila saya bertanyakan perkara itu kepada anak saya, mereka memberitahu, lagu itu sangat popular dan sering diputarkan di corong radio.

“Saya akui, teknologi memudahkan kita untuk menghasilkan lagu dan membuat rakaman. Tetapi, jika kita menghasilkan lagu tanpa jiwa dan bergantung sepenuhnya kepada teknologi, ia membuatkan sesebuah karya tidak mampu bertahan lama,” tegasnya.

Baru-baru ini, Aishah menyelar sikap warganet yang menghinanya dengan panggilan ‘orang tua sakai’ apabila dia berkongsi kenangan ketika menjayakan persembahan di pentas ABPBH 32.

Pemilik vokal nyaring dan ampuh ini bagaimanapun tidak berdiam diri dan membalas kecaman berkenaan dengan memuat naik sebuah perkongsian yang mencabar individu terbabit untuk berdepan dengannya, sambil menyifatkan pihak berkenaan memiliki hati yang hodoh.

Mengulas perkara itu, beliau membalas komen berkenan bukan bertujuan sengaja mahu mencari perhatian, dengan melayan perkara yang disifatkan peminatnya sebagai tidak berbaloi, tetapi lebih kepada mengajar.

“Saya bukannya terkesan dengan komen sebegitu, cuma saya mahu mengajar individu terbabit dan pengikut lain supaya jangan sangka saya lemah dan boleh diperlekehkan. Jika komen itu memerlukan saya bersuara, saya akan berbuat demikian. Jika ia sekadar langau yang sengaja mahu mencari masalah, saya akan mengabaikannya,” katanya.