BERITA ABPBH

Undian ABPBH 33 hingga Ahad ini jam 11.59 malam

[email protected]

KUALA LUMPUR: Peminat yang mahu mengundi artis idola pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 boleh berbuat demikian hingga detik terakhir iaitu pada jam 11.59 malam, Ahad ini.

Sehubungan itu, tinggal tiga hari lagi untuk peminat menentukan nasib artis kegemaran masing-masing pada ABPBH 33 yang dikendalikan mengikut tertib norma baharu.

Pengarang Berita Hiburan BH merangkap Pengarah ABPBH 33, Shamshul Azree Samshir, berkata undian yang dibuka sejak 7 Oktober lalu, mendapat sambutan menggalakkan.

"Kita teruja penerapan norma baharu dalam penganjuran ABPBH 33 diterima baik peminat kerana umum menyedari kepentingan 'kita jaga kita' dalam berdepan penularan COVID-19.

"Proses undian melalui kaedah online juga bukanlah asing kepada pengikut ABPBH kerana ia sudah diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu sesuai dengan peredaran zaman.

Siapa bakal memenangi trofi Bintang Paling Popular ABPBH 33 akan diketahui pada siaran langsung ABPBH 33 dari Axiata Arena, Bukit Jalil pada Jumaat, 13 November mulai 9 malam. Foto NSTP/Shamshul Azree Samshir
Siapa bakal memenangi trofi Bintang Paling Popular ABPBH 33 akan diketahui pada siaran langsung ABPBH 33 dari Axiata Arena, Bukit Jalil pada Jumaat, 13 November mulai 9 malam. Foto NSTP/Shamshul Azree Samshir

"Namun, menjelang hari-hari terakhir proses undi, kita menjangka lebih banyak undian diterima kerana peminat lebih suka menunggu hingga saat-saat akhir untuk membuat pilihan," katanya kepada BH Online.

ABPBH 33 bertemakan #ABPBHKITA2020 akan disiarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil, pada Jumaat, 13 November ini, mulai jam 9 malam.

Acara anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia ini dikendalikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Edisi ke-33 ABPBH dibawakan syarikat elektronik multinasional China, Xiaomi.

Shamshul Azree berkata, proses undian berlangsung sebulan dan pemenang setiap kategori dipilih daripada undian tertinggi yang diterima.

"Pada penganjuran kali ini, kita tidak akan mengumumkan artis Top 5. Sebaliknya, hanya pemenang bagi setiap kategori yang diumumkan pada malam kemuncak.

"Sebelum ini, kita menghebahkan kumpulan 10 artis yang mendapat undian tertinggi sejak proses undian dibuka pada 7 Oktober lalu.

"Namun, itu bukanlah jaminan mereka akan kekal pada kedudukan tertinggi kerana proses undian masih dibuka," katanya.

Shamshul Azree berkata, peminat perlu memanfaatkan masa yang tinggal untuk mengundi artis pilihan dengan bijak.

"Kuasa ada di tangan peminat. Gunakanlah peluang ini sebaik-baiknya namun kita mengingatkan penyokong agar sentiasa menjaga SOP, penjarakan dan mengamalkan kebersihan terutama jika membuat undian di luar.

"ABPBH 33 mahu dijayakan dengan pematuhan ketat semua peraturan bagi mengekang penularan COVID-19.

"Ini dapat dilihat melalui keputusan penganjur untuk tidak membenarkan penonton berada di Axiata Arena demi kepentingan semua pihak," katanya.

Mempertandingkan 13 kategori utama, selain lima kategori online, pemilihan artis kegemaran boleh dilakukan menerusi laman web ABPBH 33 di www.abpbh.com.my.

Undian boleh dilakukan sama ada secara percuma, pakej langganan BH digital dan undian bersama Xiaomi.