BERITA ABPBH

Undian ABPBH 33 bermula hari ini

[email protected]

KUALA LUMPUR: Menerap budaya norma baharu dalam penganjuran kali ini, edisi ke-33 Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) yang bakal dilancarkan secara maya, Jumaat ini, membuka pengundian dalam 13 kategori utama dan lima kategori online, mulai hari ini.

Peminat boleh melayari www.abpbh.com.my dan memilih artis kesayangan daripada 20 calon dalam setiap kategori, sehingga tarikh tutup 8 November depan.

ABPBH 33 yang mengangkat tema #ABPBHKITA2020, menetapkan tempoh sebulan untuk peminat mengundi artis pilihan dengan pemenang bakal diumumkan pada malam kemuncak acara anugerah berprestij ini, November depan.

Pengarang Berita Hiburan merangkap Pengarah ABPBH 33, Shamshul Azree Samshir, berkata calon terpilih mewakili penggiat seni yang menepati syarat asas penyertaan selain meninggalkan impak dalam persada seni sejak 1 Januari hingga 31 Disember 2019.

"Mulai hari ini bagi tempoh sebulan, peminat berpeluang mengundi artis pilihan melalui laman web rasmi ABPBH 33. Gunakan peluang ini dengan bijak kerana kuasa di tangan anda.

ABPBH 33 akan dilancarkan secara maya, Jumaat ini, pada jam 9 malam. Foto NSTP
ABPBH 33 akan dilancarkan secara maya, Jumaat ini, pada jam 9 malam. Foto NSTP

"Dengan undi yang diberi, anda mampu meletakkan artis kegemaran meraih kemenangan dalam kategori masing-masing selain berpeluang merangkul trofi berprestij, Bintang Paling Popular ABPBH 33," katanya kepada BH Online.

Antara 13 kategori utama yang dipertandingkan adalah Artis Baharu Lelaki Popular; Artis Baharu Wanita Popular; Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular; Pelakon Filem Lelaki Popular; Pelakon Filem Wanita Popular; Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon TV Wanita Popular.

Turut dipertandingkan adalah lima kategori online iaitu Gandingan Serasi Drama Popular, Gandingan Serasi Filem Popular, Lagu Paling Boom, Artis Kontroversi Popular dan FC FANtastik Popular.

Shamshul Azree berkata, maklumat lanjut mengenai ABPBH 33 dan proses pengundian boleh didapati di laman web rasmi ABPBH 33 selain perkongsian Facebook (FB) dan Instagram (IG) BH.

Tambahnya, majlis pelancaran ABPBH 33 dan sidang media secara maya akan disiarkan secara langsung melalui FB BH dan akaun YouTube BH mulai jam 9 malam, Jumaat ini.