BERITA ABPBH

'Uji air kencing jadi beban'

[email protected]

KUALA LUMPUR: Cadangan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memperketatkan permohonan mendapatkan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) dengan mewajibkan laporan ujian air kencing bagi mengelak kes penyalahgunaan dadah dalam kalangan kru produksi dan pelakon, dibantah penggiat seni.

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli dan Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim menganggap cadangan dikemukakan Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Khir Mohd Noor remeh dan mengarut.

Jurey berkata, FINAS tidak harus diheret dalam kes penyalahgunaan dadah pekerja seni dan tindakan menyerahkan tanggungjawab mengekang gejala itu kepada perbadanan terbabit dianggap kurang matang.

"Ini adalah tanggungjawab semua orang. Pekerja perlu belajar bersikap jujur dengan mematuhi peraturan yang sudah termaktub dalam kontrak. Takkanlah semua perkara hendak membabitkan kerajaan.

"Bagi saya, tindakan itu tidak matang dan membebankan kerajaan yang mempunyai banyak perkara lain yang perlu diberi perhatian.

"Selain itu, bagi saya, cadangan ujian saringan air kencing ke atas pekerja seni melanggar hak asasi pekerja. Perkara ini tidak dilaksanakan oleh sektor pekerjaan lain.

"Jadi, biarlah perkara itu ditangani dan dikawal selia syarikat produksi tanpa perlu membabitkan FINAS," katanya kepada BH Online.

Tambah Jurey, bukan sahaja menyusahkan, malah idea mewajibkan ujian air kencing terhadap kru dan pelakon membebankan syarikat produksi daripada sudut kos.

"Syarikat produksi terpaksa menanggung pelbagai kos antaranya ujian calitan, alat sanitasi dan perkara lain membabitkan prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan.

"Jika ujian saringan air kencing diwajibkan, ini menambahkan beban penerbit. Apatah lagi, stesen televisyen (TV) tidak memberi bayaran tambahan untuk tujuan itu," katanya.

Ahmad Ibrahim anggap ujian air kencing meremehkan dan kes di Perak sebagai insiden terpencil yang tidak perlu diperbesarkan. - Foto IG Ahmad Ibrahim
Ahmad Ibrahim anggap ujian air kencing meremehkan dan kes di Perak sebagai insiden terpencil yang tidak perlu diperbesarkan. - Foto IG Ahmad Ibrahim

Jurey berkata, pekerja perlu bertanggungjawab dengan mematuhi kontrak ditandatangani yang antara lain menyentuh soal penggunaan dadah," katanya.

Jurey berkata, PTVM bakal menyenarai hitam nama pengarah, kru dan artis yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah serta menasihati ahli agar tidak menggunakan khidmat mereka.

"Syarikat produksi juga disaran memeriksa latar belakang dan rekod setiap pekerja termasuk pelakon sebelum menggaji mereka bagi menjaga nama baik syarikat.

"Apa yang berlaku mencetuskan stigma tidak baik kepada warga seni. Hanya kerana seorang atau dua orang yang terpalit dengan isu dadah, habis seluruh imej pekerja seni dipandang serong," katanya yang akan membawa usul pada mesyuarat agung PTVM, tidak lama lagi serta berbincang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengenai isu itu.

Sementara itu, Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim atau Mat London menganggap ujian air kencing meremehkan dan kes di Perak sebagai insiden terpencil yang tidak perlu diperbesarkan.

"Idea ujian air kencing saya fikir tidak membangun langsung. Sebelum ini, belum pernah terjadi penahanan kru atau pelakon di set penggambaran akibat penggunaan dadah.

"Hanya disebabkan beberapa orang, habis semua warga seni diwajibkan menjalani ujian air kencing. Ini akan menambah kerumitan kepada syarikat produksi, sudahlah kita dibebankan dengan ujian calitan," katanya.

Ahmad Ibrahim berkata, FDAM sedia membantu penerbit mendapatkan khidmat pengarah yang boleh dipercayai merangkumi ahlinya sendiri.

"Penerbit perlu tahu siapa pengarah yang mahu diambil. Mereka rujuk kepada FDAM jika kurang pasti rekod pengarah terbabit.

"Sebenarnya, isu dadah boleh dibendung jika mereka mengupah pengarah yang betul," katanya.

Kelmarin, Niezam, Mohd Latiff dan Saiful Zaidrin
Kelmarin, Niezam, Mohd Latiff dan Saiful Zaidrin

Kelmarin, pelakon, Muhamad Niezam Mohd Zaidi, bersama dua lagi individu membabitkan pengarah filem dan penolongnya, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, Perak, atas pertuduhan memiliki dadah pada Ahad lalu.

Muhamad Niezam, 28; pengarah filem, Mohd Latiff Zami, 49; serta penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail, 46; membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.

Menurut kertas pertuduhan, Muhamad Niezam didakwa ada dalam milikannya 1.15 gram (g) dadah jenis kanabis di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri, Kuala Kangsar, jam 7.15 pagi 10 Oktober lalu.

Mohd Latiff dan Saiful Zaidrin pula masing-masing didakwa memiliki 0.3g dadah jenis kanabis serta 0.38g dadah jenis methamphetamine pada waktu, tarikh dan di lokasi sama dalam pertuduhan ke atas Muhamad Niezam.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM3,000 ke atas Muhamad Niezam, Mohd Latiff (RM2,600) dan Saiful Zaidrin (RM3,200) masing-masing dengan seorang penjamin.

Mohd Shazmeer juga menetapkan tarikh 1 Disember depan untuk sebutan semula kes ketiga-tiga tertuduh sementara menunggu laporan kimia.

Sementara itu, Muhamad Niezam melalui hantaran di Instagram (IG), semalam, memohon maaf atas apa yang berlaku.

"Saya minta maaf jika ada salah dan silap pada kalian semua.

"Alhamdulillah, syukur pada Allah di atas apa yang terjadi dan jutaan terima kasih juga pada kalian semua yang selalu mendoakan saya selama ini.

"Semoga Allah merahmati kalian. Buat masa sekarang, saya simpan apa-apa komen mengenai isu ini," katanya.

Muhamad Niezam dan Mohd Latiff didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya

sekali, jika sabit kesalahan.

Saiful Zaidrin didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.