BERITA ABPBH

Tyzo 17 tahun menanti

[email protected]

KUALA LUMPUR: Sering bergurau mengatakan dirinya calon Top 5 bagi kategori Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 ketika bersiaran di konti akhirnya 'mulut masin' penyampai radio Suria FM, Tyzo jadi kenyataan.

Menyifatkan kejayaan membolosi kelompok finalis ABPBH 34 sebagai satu kejutan, Tyzo atau nama sebenarnya, Tuah Zolqarnain Idris terharu kerana ia mencatat sejarah peribadi sejak menceburi dunia penyiaran radio kira-kira 17 tahun lalu.

"Sebelum ini, saya sering bergurau mengatakan yang saya adalah Top 5 ABPBH. Tak sangka, gurauan saya akhirnya benar-benar jadi kenyataan.

"Mungkin apabila sering mengungkap kata begitu di corong radio, pendengar yang mengikuti segmen saya sudi membantu dan mendoakan kata-kata saya.

"Secara peribadi, bergelar finalis ABPBH membuatkan hati saya tersentuh sepanjang 17 tahun berada dalam dunia penyiaran radio.

"Lebih mengujakan apabila ada dua penyampai Suria FM turut bersaing bersama iaitu DJ Lin dan Sharifah Shahirah atau Shiera," katanya kepada BH Online.

Tyzo yang mengendalikan slot Suria Petang bersama Shiera menyerahkannya kepada kuasa undian peminat. - Foto IG Suria FM
Tyzo yang mengendalikan slot Suria Petang bersama Shiera menyerahkannya kepada kuasa undian peminat. - Foto IG Suria FM

Ditanya apakah bersedia merampas trofi itu daripada tangan DJ Lin yang juga majikannya di stesen penyiaran terbabit, Tyzo yang mengendalikan slot Suria Petang bersama Shiera menyerahkannya kepada kuasa undian peminat.

"Dalam sebuah pertandingan, tiada istilah anak buah lawan ketua seperti yang berlaku dalam kategori yang menyenaraikan tiga nama penyampai radio Suria FM ini. Bagi saya, setiap orang pasti mempunyai strategi tersendiri.

"Sekarang terpulanglah kepada peminat menentukan siapakah layak untuk menjulang trofi ini. Jika ditanya, saya pasti semua orang memasang impian untuk menang.

"Namun, jika kemenangan masih berpihak kepada DJ Lin, saya rasa beliau memang layak. Tercalon dalam kelompok Top 5 sudah buat saya bersyukur," ujarnya merendah diri.

Terdahulu Tyzo pernah bersama Suria FM bermula 2007, namun meninggalkan stesen berkenaan selepas enam tahun berkhidmat.

Tyzo menyertai dunia penyiaran menerusi stesen radio Muzik FM pada 16 Julai 2004 dan pernah menyumbangkan khidmat di stesen Ultra FM dan Pi Mai FM, sebelum beralih ke Selangor FM.