BERITA ABPBH

Tiga lagu Haqiem mara SFMM36

[email protected]

KUALA LUMPUR: Rezeki pengantin baharu, Haqiem Rusli apabila tiga lagu nyanyiannya menembusi peringkat separuh akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke­36 bermula selama dua hari pada 31 Disember ini.

Kata Haqiem, dia berjanji akan membuat persediaan rapi bagi memberikan persembahan terbaik bagi menghargai sokongan peminat terhadap setiap karya yang diketengahkan.

"Ini kali pertama tiga lagu saya mara ke SFMM, iaitu lagu Mimpi, Adlina Marie dan Lara, nyanyian bersama Hael Husaini dan Naim Daniel.

"Sudah pasti saya mengharapkan tiga lagu ini mara ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36, insya-Allah. Jadi, saya berharap dapat melakukan persembahan terbaik untuk ketiga-tiga ini.

"Dalam masa sama, saya berharap menerima sokongan pencinta muzik bagi suntikan semangat memberikan persembahan yang terbaik dan berjuang di SFMM36, seterusnya mara ke pentas AJL36," katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, Haqiem berkata, dia bimbang memikirkan soal kesihatan dan berharap kesihatan baik untuk menjayakan ketiga-tiga persembahan itu nanti.

"Sudah pasti saya takut 'terkucil', suara terlampau serak atau terlalu penat. Perkara sebegini membuatkan saya takut. Tetapi, pasti ada jalan penyelesaian.

"Mungkin seminggu sebelum persembahan di SFMM36 saya akan kosongkan jadual seni untuk menjaga stamina dan vokal.

"Kemudian, saya akan cuba menghadiri kelas vokal dan melakukan persediaan lebih rapi, iaitu dengan membuat senaman. Saya akui, agak sukar untuk saya menjayakan tiga lagu dalam dua episod.

"Namun, tidak mengapa, ini adalah satu pengalaman baharu. Insya-Allah, saya akan buat yang sehabis baik demi ketiga-tiga lagu," katanya yang mahu menerapkan pemikiran positif.

Pengacara, Sissy dan Muaz mengumumkan 10 lagu terakhir yang layak mara ke pentas SFMM36, manakala, baki 20 lagu sudah diumumkan pada 21 dan 28 November lalu. - Foto Ihsan TV3
Pengacara, Sissy dan Muaz mengumumkan 10 lagu terakhir yang layak mara ke pentas SFMM36, manakala, baki 20 lagu sudah diumumkan pada 21 dan 28 November lalu. - Foto Ihsan TV3

Haqiem ditemui pada sidang media SFMM36 secara virtual, tengahari ini.

Buat julung kali, SFMM36 akan disiarkan sebanyak dua episod pada 31 Disember dan 1 Januari depan. Secara keseluruhan, 30 lagu bakal bertanding bagi peringkat SFMM36.

Namun, hanya 12 lagu sahaja akan berentap menerusi AJL36.

Terdahulu, pengacara, Sissy Iman dan Muaz Mohamad mengumumkan 10 lagu terakhir yang layak mara ke pentas SFMM36, manakala, baki 20 lagu sudah diumumkan pada 21 dan 28 November lalu.

Sebanyak 10 lagu yang turut layak ke pusingan SFMM36 ialah Intan Payung nyanyian Noraniza Idris berkolaborasi dengan penyanyi rap, Bunga Isme menerusi lagu ciptaan dan lirik oleh Luca Sickta, Bunga, Amzar Razqa, Siqma, Neraca (Datuk Jamal Abdillah, Kmy Kmo, Luca Sickta/Kmy, Luca) dan Angkara (Siti Nordiana/Sharon Paul, Fedtri Yahya, Nana Alias).

Tidak ketinggalan lagu Boneka nyanyian Ernie Zakri ciptaan Omar K, Iqie Hugh dan Firdaus Rahmat; Bagaimana (Muna Shahirah duet Zack Zakwan/Gouffran, Sang Hitam); Adlina Marie (Haqiem Rusli/Haqiem, Ibnu, Ezra Kong); Lara (Hael Husaini, Naim Daniel, Haqiem/MFMF, Hael, Naim, Haqiem); Nafas Cinta (Khai Bahar duet Aina Abdul/Wan Zakaria, Khai, Aina); Lautan Asmara (Kugiran Masdo/Ali Sariah) dan Teman (Iman Troye/Ezra Kong, A Ramlee).