BERITA ABPBH

The Gadys jual imej seksi?

[email protected]

KUALA LUMPUR: Setiap kali kumpulan penyanyi wanita baharu muncul di persada seni, mereka tidak akan terlepas daripada stigma negatif iaitu hanya mempertaruhkan rupa dan imej seksi sebagai lesen untuk dikenali.

Mungkin pengalaman lalu apabila ramai 'girl band' yang wujud tidak mempunyai bakat menyanyi hingga ada yang terpaksa 'miming' setiap kali membuat persembahan menyebabkan kumpulan penyanyi wanita lain turut terkena tempias.

Justeru, apabila kumpulan The Gadys dianggotai Nelissa Nizam, Aznie Azmi, Ayunie Rizal dan Faa Zaini ini muncul dengan single pertama berkonsepkan Syawal berjudul Gadys Raya, ramai mempersoalkan bakat dan tujuan berada dalam industri muzik.

Nelissa berkata, beza antara The Gadys dengan kumpulan lain adalah latar belakang kerjaya seni.

"Kami bermula bukan kerana menghadiri sesi uji bakat. Kami berkenalan ketika menyertai program realiti dalam YouTube. Selepas itu, berkawan rapat dan kerap melancong bersama.

"Dari situ, bakat The Gadys dikesan dan dilamar untuk menjadi artis rakaman. Selain itu, muzik dipertaruhkan juga berbeza. Ini kerana kami mempertaruhkan pelbagai genre.

"Kami mempunyai latar belakang dalam seni persembahan kerana menuntut jurusan seni di institusi pengajian tinggi.

"Anggota The Gadys memulakan kerjaya seni menerusi bidang lakonan seperti drama dan teater. Selepas itu, barulah kami ceburi bidang nyanyian.

"Walaupun masih baharu, tetapi kami tetap mahu belajar. Sebagai persediaan, kami mengikuti kelas vokal untuk memperbaiki kelemahan dan mahu memberikan terbaik kepada peminat," katanya kepada BH Online.

The Gadys memulakan kerjaya seni menerusi bidang lakonan seperti drama dan teater, sebelum bergelar penyanyi. - Foto IG The Gadys
The Gadys memulakan kerjaya seni menerusi bidang lakonan seperti drama dan teater, sebelum bergelar penyanyi. - Foto IG The Gadys

Mengulas dakwaan suka bergaya seksi dalam media sosial, Nelissa berkata, imej The Gadys lebih kepada 'messy', bukannya seksi.

"Gaya The Gadys sama seperti gadis lain. Kalau lihat penampilan dalam aplikasi TikTok, kami lebih menekankan soal warna dalam penampilan.

"Kami akan mengenakan warna sama dalam pemakaian. Kalau bukan warna, rekaan pakaian kena sama.

"Namun, terpulang kerana prinsip kami mempertaruhkan bakat dan imej perlulah seiring jika itu dianggap seksi," katanya.

Apabila ramai netizen menganggap The Gadys adalah pesaing kumpulan Dolla, Nelissa berkata, kehadiran mereka dalam industri bukanlah untuk bersaing dengan sesiapa, malah, tak rasa wujudnya persaingan.

"Kemunculan The Gadys boleh dikatakan sebagai penambah rasa kepada industri muzik, lagipun, Dolla pernah berkongsi, lagi banyak kemunculan kumpulan baharu, ia menjadi lebih bagus kerana industri seni menjadi meriah.

"Namun, jika ada yang melihat kami sebagai pesaing, ia sebagai satu cabaran. Ini bermakna kami menawarkan pelbagai pilihan kepada peminat muzik.

"Kami juga memang sudah biasa dengan kecaman yang menegur soal aurat dalam media sosial.

"Jika teguran membina, kami terima. Doakan sahaja yang baik-baik," katanya yang mengetengahkan muzik ala era 1970-an menerusi single pertama, Gadys Raya.

Terdahulu, lagu Gadys Raya berjaya menambat hati ramai sehingga mengaut 2.3 juta tanda suka di TikTok dan hampir setengah juta tontonan dalam YouTube.

The Gadys mula mencuri apabila netizen mengkritik nyanyian 'sumbang' dan membandingkan mereka dengan kumpulan sedia ada.