BERITA ABPBH

Tayangan Mencari Rahmat ditunda lagi

[email protected]

KUALA LUMPUR: Filem Mencari Rahmat yang sepatutnya ditayangkan di pawagam di seluruh negara pada 31 Disember depan, terpaksa ditunda atas faktor yang tidak dapat dielakkan.

Penerbitnya, Zuli Ismail berkata, penundaan tarikh tayangan filem itu dibuat berikutan keputusan pawagam atau pemamer menutup sementara premis mulai 2 November lalu sehingga tarikh yang akan dimaklumkan.

Namron dan Adibah antara pelakon yang membintangi filem Mencari Rahmat. Foto Ihsan AB Roll Sdn Bhd
Namron dan Adibah antara pelakon yang membintangi filem Mencari Rahmat. Foto Ihsan AB Roll Sdn Bhd

"Kami sudah menerima surat daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang memaklumkan tarikh tayangan filem ini akan dijadualkan semula," katanya.

Zuli berkata, setakat ini tarikh baharu tayangan masih belum diperoleh dan pihaknya akan berbincang mengenainya dengan lebih lanjut.

"Saya percaya ramai yang menantikan tayangan filem ini. Namun, ini adalah suatu perkara yang tidak dapat dielak berdasarkan situasi sekarang.

"Sudah tentu kami harap penonton dapat bersabar sehingga filem ini ditayangkan di pawagam kelak," katanya.

Ini kali kedua filem Mencari Rahmat ditunda tayangannya berikutan penularan COVID-19.

Mencari Rahmat menjalani penggambaran pada 2017. Filem ini dibintangi Namron, Sharifah Amani, Amerul Affendi, Nadia Aqilah, Adibah Noor, Fauziah Nawi dan ramai lagi.

Filem diterbitkan AB Roll Sdn Bhd dan diarahkan Al Jafree Md Yusop ini diadaptasi daripada cerita asal The Importance of being Earnest by Oscar Wilde.