BERITA ABPBH

Tak sakit pun cucuk vaksin - Fieya Julia

[email protected]

KUALA LUMPUR: Bersaing dengan 19 calon awal kategori Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, Fieya Julia menganggap semangat kekitaan atau 'unity' perlu diterap dalam diri setiap insan dalam berdepan pandemik COVID-19.

Berkongsi keperitan dialami, Fieya mengaku hampir hilang arah apabila kerjaya seni tersekat dan terpaksa bergelut menyesuaikan diri dengan norma baharu.

"Saya perantau dari Sarawak yang mencari rezeki sebagai anak seni. Apabila pandemik melanda, saya tertekan dan bergelut.

"Bayangkan, saya perlu membayar komitmen bulanan seperti kediaman dan semua bil. Pernah, saya tiada pendapatan langsung selama sebulan. Jika adapun, tidak banyak.

"Ramai bergelut ketika ini. Kemudian saya beri fokus dan berfikir apa yang boleh dilakukan. Lalu saya buat keputusan jadi 'streamer' untuk menjana pendapatan.

Fieya menasihatkan peminat usah ‘termakan’ dengan kata-kata kumpulan antivaksin dan percaya usaha mendapatkan imunisasi sebagai ikhtiar membendung penularan COVID-19. Foto Ihsan Fieya Julia
Fieya menasihatkan peminat usah ‘termakan’ dengan kata-kata kumpulan antivaksin dan percaya usaha mendapatkan imunisasi sebagai ikhtiar membendung penularan COVID-19. Foto Ihsan Fieya Julia

"Jadi, dalam hal ini, kita kena kuat dan bersatu. Rezeki ada di mana-mana dan kita kena berusaha," katanya kepada BH Online.

Fieya atau nama sebenar, Nur Syafiyah Sejal yang juga artis naungan Aries Music percaya tema ABPBH 34 #KITABERSAMA boleh dipupuk selepas setiap insan mempersiapkan diri dan mengumpul kekuatan melawan pandemik COVID-19.

"Dalam menangani penularan virus ini, perlu ada kata sepakat. Kita tidak boleh bersikap mementingkan diri.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita kena bersatu dan patuh undang-undang. Ini termasuk dalam soal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Pelitup muka contohnya, sudah jadi aksesori wajib ke mana sahaja kita pergi selain mendapat suntikan vaksin COVID-19. Janganlah degil dan menyusahkan orang lain," katanya.

Fieya yang tampil dengan lagu Halusinasi mengaku pernah 'termakan' kata-kata orang yang menghasut supaya tidak mempercayai vaksin atau antivaksin.

"Saya hampir termakan kata-kata itu. Namun, saya kembali sedar bahawa vaksin itu sebagai salah satu ikhtiar untuk kita membendung penularan COVID-19.

"Kerajaan lebih tahu apa yang baik untuk rakyat. Pergilah suntik vaksin jika masih belum berbuat demikian... Tak sakit pun," katanya.

Fieya berkata, dia sudah mendapatkan suntikan dos pertama vaksin COVID-19 dan sesi kedua pada 26 September ini.

Mengenai pencalonannya pada ABPBH Ke-34, Fieya tidak menyangka dicalonkan.

"Sejak pandemik ini, rentak seni saya agak perlahan. Hendak buat 'cover' lagu penyanyi lain pun tidak berkesempatan.

"Ada yang sangka saya tidak aktif lagi. Mujur single Halusinasi dilancarkan tahun ini. Tahun lalu, saya sempat menghasilkan lagu Penantian.

"Terima kasih ABPBH 34 kerana mencalonkan saya dalam satu kategori. Harap-harap masih ada yang hendak undi saya... Tercalon pun sudah bersyukur," katanya.

Bertemakan #KITABERSAMA, ABPBH 34 dilancarkan pada 10 September lalu dengan undian pusingan pertama membabitkan 14 kategori utama dan enam kategori online.

Bagaimanapun, dua kategori online, iaitu Artis TikTok Popular dan Anugerah FANtastik Popular akan dibuka, bulan depan.

Layari www.abpbh.com.my untuk mengundi artis pilihan anda.