Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Tak kenal, tak apa - Chacha Maembong

30 Sep 2019 | Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

KUALA LUMPUR: Biarlah dirinya kurang popular, dilimpahi cerita sensasi ataupun tidak diperkatakan ramai asal kerjaya seni sentiasa menunjukkan peningkatan. Itulah pendirian pelakon, Chacha Maembong, 23.

Tidak seperti kakaknya, Emma Maembong, Chacha dilihat seorang artis yang lebih bersikap ‘low profile’. Pada masa sama, dirinya berusaha mengelak daripada terjerumus ke lembah kontroversi, mahupun menyaksikan kisah peribadinya dijaja.

Seboleh-bolehnya, Chacha atau nama sebenarnya Siti Aisyah Ismail Embong tidak rela andai diri dihambat gosip liar yang memalukan dirinya.

“Cukuplah... Dahulu, saya sering dikaitkan dengan gosip yang tidak masuk akal. Hari ini, saya memilih hidup yang ‘low profile’ supaya diri lebih tenang.

“Saya tak kisah dianggap tidak popular, asalkan rezeki yang diterima masih tidak putus-putus. Jika orang tidak kenal saya pun tidak mengapa, asalkan masih ada ruang privasi dalam kehidupan saya.

“Sebab itulah, saya kini memilih untuk bersederhana dalam apa juga perkara,” katanya kepada BH Online.

Chacha berkata, dia sengaja memperlahankan rentak kerjaya seni supaya dirinya tidak terlalu menonjol.

“Apa gunanya jika wajah sering menghiasi kaca TV, tetapi cuma bersifat seketika. Ramai orang meramalkan, jika nama kita cepat naik, maka dengan mudah juga kita akan jatuh.

“Jadi, saya pilih jalan pertengahan, biar lambat asalkan selamat. Saya bukannya mahu berada sekejap sahaja dalam bidang lakonan, sebaliknya ingin bertahan lama berkongsi bakat dan mencari rezeki di persada seni.

“Saya tidak mahu melalui gelombang naik turun, tetapi saya mahu kekal relevan. Memang ia bukan mudah, apatah lagi dengan kemunculan ramai bintang baharu. Tetapi, ia tetap persaingan yang sihat.

“Saya juga bukan sudah hilang taring seperti diperkatakan, tetapi saya pilih jalan untuk tidak terlalu menonjol ke depan,” katanya.

Pelakon yang diperkenalkan menerusi drama, Kau Yang Terindah, pada 2012 itu berkata, rezeki tetap tidak putus-putus dalam bidang berkenaan biarpun dirinya tidak menonjol seperti Emma.

“Saya tahu, nama Emma sering menjadi bualan, saya pula kelihatan sepi. Saya memang memilih jalan ini kerana tidak sanggup melalui kontroversi seperti dihadapi kakak.

“Bayangkan, walaupun Emma yang terpalit kontroversi, tetapi ramai wartawan tetap mencari saya. Ia agak memeningkan kepala. Bukan saya tidak mahu mengangkat panggilan, tetapi saya bukannya si empunya badan. Saya tidak tahu apa yang Emma rasa, jadi saya tidak berhak memberikan komen.

“Kontroversi membabitkan Emma turut menyedarkan saya, lebih baik saya pilih hidup sederhana dan tidak terlalu menjadi perhatian umum,” katanya yang sedang mempromosikan filem lakonannya, Anak Perjanjian Syaitan.

Anak Perjanjian Syaitan menggandingkan Chacha bersama Nadzmi Adhwa sebagai suami isteri. Filem bergenre seram itu bakal menemui penonton di pawagam pada 24 Oktober depan.

Selain Chacha dan Nadzmi, filem ini turut dibintangi Jasmin Hamid, Shahrolnizam Noor, Azlan Komeng dan Attika.

Chacha berkata, dalam filem terbabit, dia membawa watak Azlinda, iaitu seorang isteri yang berdepan penyakit kemurungan dan menyimpan banyak rahsia dalam kehidupan.

“Watak Azlinda ini berat. Dia berdepan masalah besar dan tidak tahu untuk meluahkannya kepada sesiapa. Dia memendam perasaan apabila terlalu banyak rahsia tidak boleh dikongsi. Akhirnya, Azlina mengambil jalan pintas yang merosakkan hubungan dengan suami dan keluarga.

“Tindakannya itu juga membuatkan Azlinda tersiksa. Biarpun dipersembahkan dalam bentuk seram, ia tetap sebuah karya yang sarat dengan mesej.

“Melakukan sesuatu tanpa berfikir panjang bukannya memudahkan atau mampu menyelesaikan masalah dengan sebaiknya, malah ia memberi bala besar dalam kehidupan,” katanya yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama, Pesan Pada Hati, siaran TV3.