BERITA ABPBH

Tajul sebak nyanyi lagu arwah Achik

[email protected]

KUALA LUMPUR: Mengubati kerinduan terhadap Allahyarham Achik Spin, penyanyi Tajul dan Afieq Shazwan berpadu suara menyanyikan semula lagu Malam Semakin Dingin.

Kata Tajul yang juga adik kepada arwah Achik, lagu ciptaan Aiman dan Lukhman S yang diberikan nafas baharu itu bagi memenuhi permintaan peminat dalam laman sosial.

"Lagu Malam Sedingin Salju selalu saya nyanyikan apabila berkunjung ke pusat karaoke. Saya akui, agak mencabar menyanyikan lagu ini, tetapi saya bersyukur berpadu suara dengan Afieq.

"Afieq sangat membantu dan memudahkan proses rakaman. Dengan bantuannya, kami tidak ambil masa yang lama menyiapkan rakaman lagu ini. Jujurnya, saya sebak dan terlalu rindu pada arwah sewaktu merakamkan lagu ini.

"Saya dan arwah tidak terlalu rapat kerana jarang berjumpa. Ini kerana arwah sentiasa sibuk dengan kerjaya seninya. Bagaimanapun, saya tetap bersyukur dapat nyanyikan semula lagu arwah abang," katanya kepada BH Online.

Proses rakaman dilakukan berulang kali dan secara berasingan. Ini kerana selepas vokal siap dirakamkan dan diperdengarkan kembali, Tajul dan Afieq merasakan perlu ada penambahbaikan.

Bagaikan mengubat kerinduan apabila Tajul dan Afieq mendendangkan lagu Malam Semakin Dingin secara berduet untuk mengenang arwah Achik yang sudah 11 tahun menghadap Ilahi.
Bagaikan mengubat kerinduan apabila Tajul dan Afieq mendendangkan lagu Malam Semakin Dingin secara berduet untuk mengenang arwah Achik yang sudah 11 tahun menghadap Ilahi.

Bagaimanapun, tegas Tajul, jangan membandingkan vokalnya dengan arwah Achik.

"Jangan bandingkan vokal saya dengan arwah. Walaupun kami adik beradik tetapi cara nyanyian dan kemampuan vokal tentunya berbeza," katanya yang mengagumi vokal arwah abangnya itu.

Sementara itu, Afieq berkata, pada awalnya hanya memuat naik lagu saduran itu menerusi laman TikTok dan Facebook. Namun, selepas melihat tontonan memberangsangkan, timbul idea untuk merakamkannya semula.

"Dalam FB mencecah setengah juta tontonan dan di situ, saya menerima banyak permintaan yang mahu saya menyanyikan lagu Malam Semakin Dingin.

"Jadi, saya terus bersetuju apabila diberi peluang berduet lagu ini bersama Tajul. Saya setuju sebab Tajul juga adik kepada arwah Achik. Kami anggap ini adalah penghargaan buat arwah," katanya.

Afieq menyanyikan semula lagu Malam Semakin Dingin dan dimuat naik dalam laman sosial, sebelum dilamar berpadu suara dengan Tajul.
Afieq menyanyikan semula lagu Malam Semakin Dingin dan dimuat naik dalam laman sosial, sebelum dilamar berpadu suara dengan Tajul.

Calon awal bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 itu turut meluahkan rasa teruja apabila dapat merakamkan lagu Malam Semakin Dingin, lebih lagi, merasakan lagu ini begitu dekat dengan jiwanya.

"Saya suka lagu Malam Semakin Dingin kerana inilah jiwa saya. Sebelum ini, saya tidak pernah berpeluang menyanyikan genre ini sama ada dalam pertandingan dan program realiti yang disertai.

"Jadi, saya berpuas hati dapat meluahkan rasa rindu menyanyikan lagu berentak 1990-an ini.

"Ketika rakaman saya juga menyampaikannya dengan cara penyanyi era 1990-an. Bukan mahu meniru cara arwah menyanyi, tetapi saya menghormati lenggok Melayu yang dinyanyikan penyanyi asal.

"Jika dengar lagu era 1990-an, cara nyanyian memang berbeza dengan penyanyi masa kini. Harapan saya semoga pendengar dapat terima lagu Malam Semakin Dingin versi 2021 ini," katanya.

Lagu Malam Semakin Dingin diberi nafas baharu ini mula dilancarkan di saluran YouTube FMC Music mulai hari ini, manakala di platform digital mulai esok.