KUALA LUMPUR: Pelakon Song Joong-ki berkongsi berita gembira dirinya sudah berkahwin dengan teman wanita yang juga aktres British, Katy Louise Saunders, 39.
Mengumumkan perkara itu melalui sepucuk surat tulisan tangan yang dimuat naik dalam 'fan cafe' rasmi miliknya, aktor berusia 38 tahun itu juga memaklumkan isterinya hamil.
"Saya sudah berikrar untuk menghabiskan sisa hidup saya bersama Katy Louise Saunders, insan yang banyak menyokong dan setia dengan saya.
"Dia ada hati yang baik dan menjalani hidup dengan penuh semangat. Dia sangat bijak dan hebat. Terima kasih kepadanya, saya jadi insan yang lebih baik.
"Kami mengimpikan membina keluarga bahagia bersama. Kami banyak berusaha untuk memenuhi janji masing-masing dan kami sangat berterima kasih atas kehidupan baharu yang dikurniakan buat kami," katanya, lapor agensi.
Song juga memaklumkan dia dan isteri baru mendaftarkan perkahwinan dan memulakan kehidupan baharu sebagai suami isteri.
"Kami akan menjalani hari-hari kami dengan indah mengikut arah sama," katanya.
Hubungan Song dan Saunders mula menjadi perhatian apabila bintang drama Vincenzo itu dilihat berkunjung ke Singapura bersama Saunders pada 7 Disember lalu, lapor agensi.
Pada 26 Disember lalu, agensi Song turut mengesahkan aktor itu sedang menjalin hubungan dengan seseorang, namun, identiti teman wanitanya tidak didedahkan.
Menurut laporan agensi, Song dan Saunders bertemu melalui kenalan mereka, tahun lalu.
Sebelum ini, Song pernah berkahwin dengan pelakon, Song Hye-kyo pada 2017. Namun, perkahwinan itu hanya bertahan dua tahun.
Sementara itu, agensi melaporkan, Saunders berketurunan British dan Columbia.
Saunders kali pertama membintangi filem karya Michele Placido iaitu A Scandalous Journey pada 2002.
Dia mula popular menerusi filem Tre Metri Sopra Il Cielo pada 2004. Filem terakhirnya yang dilaporkan adalah Welcome Home pada 2018. - AGENSI