BERITA ABPBH

Siti pilih Erwin Gutawa?

[email protected]

KUALA LUMPUR: Meraikan suku abad pembabitan dalam dunia seni, penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza bakal bekerjasama dengan maestro muzik dari Indonesia untuk pembikinan single baharu.

Enggan mendedahkan identiti pemuzik dimaksudkan, bagaimanapun Siti mengakui, perbincangan sudah dijalankan bagi merealisasikan projek dianggap cukup istimewa.

"Sempena sambutan ke-25 tahun dalam dunia seni, saya kini dalam proses bekerjasama dengan seorang maestro muzik dari Indonesia.

"Siapa komposer itu, biarlah rahsia. Kalau nak tembak (teka) pun boleh. Kami sudah berhubung dan perbincangan dijalankan bersama Universal Music.

"Alhamdulillah, syarikat label banyak memberi kerjasama untuk projek istimewa sempena meraikan ulang tahun ke-25 saya dalam industri muzik," katanya kepada BH Online.

Siti ditemui pada sidang media sempena sambutan ulang tahun kedua produk Beausiti secara virtual, semalam. - Foto Siti Nurhaliza
Siti ditemui pada sidang media sempena sambutan ulang tahun kedua produk Beausiti secara virtual, semalam. - Foto Siti Nurhaliza

Siti ditemui pada sidang media sempena sambutan ulang tahun kedua Beausiti secara virtual, semalam.

Penyanyi yang membolosi pencalonan awal kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 bersama Kmy Kmo dan Luca Sickta menerusi lagu 7 Nasihat itu berharap, perancangan yang sudah diatur bakal menjadi kenyataan dan karya yang dihasilkan bersesuaian dengan cita rasa dan kematangannya.

"Saya harap dapat karya yang bagus dan susunan muzik menggambarkan pengalaman saya dalam industri muzik," ujar penyanyi bervokal mantap ini.

Meskipun cuba merahsiakan identiti komposer berkenaan, namun dikhabarkan individu dimaksudkan penyanyi Aku Bidadari Syurgamu itu adalah Erwin Gutawa.

Selain menghasilkan single, ibu kepada Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa itu berhasrat muncul dengan konsert khas sempena sambutan Jubli Perak kerjaya seninya itu.

"Saya memang ada perancangan mengadakan konsert khas. Namun, dalam situasi sekarang, kami masih meneliti konsep yang sesuai kerana tidak mahu berkompromi dari segi kesihatan dan keselamatan.

"Pembikinan konsert ini masih diperhalusi dan hanya akan diumumkan jika ada lokasi serta konsep yang bersesuaian untuk mengimbangi antara memberi hiburan dan pada masa sama, menitik berat soal keselamatan," ujar Siti.