BERITA ABPBH

Siti dipilih penyanyi undangan AR Rahman

[email protected]

KUALA LUMPUR: Konsert mega penyanyi dan komposer legenda dari India, AR Rahman menjanjikan keunikan tersendiri apabila bakal menampilkan Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai penyanyi undangan.

AR Rahman kembali ke Malaysia untuk mengubat rindu peminat menerusi Konsert AR Rahman - Secret of Success - Live in Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Penerbit Eksekutif DMY Creation Sdn Bhd, Mohd Maideen Abdullah berkata, pihaknya akan sentiasa cuba memberikan yang terbaik dengan mengetengahkan pelbagai elemen tambahan agar memberi kepuasan kepada penonton.

Justeru, katanya, dengan pembabitan penyanyi tersohor seperti Siti dapat menambah seri Konsert AR Rahman - Secret of Success - Live in Malaysia 2023, Sabtu ini.

"Untuk membawa Siti selaku penyanyi undangan, kami memohon dan berbincang dengan AR Rahman. Beliau bersetuju dengan cadangan ini.

"AR Rahman juga sebenarnya ada hubungan baik bersama Siti, jadi ia memudahkan lagi usaha untuk mengundangnya. Mereka akan berkongsi pentas nanti.

"Dalam masa sama, apabila ada kolaborasi antara penyanyi Malaysia dan luar negara, ia secara tidak langsung akan memperkenalkan industri muzik di persada dunia," katanya kepada BH Online.

AR Rahman kembali ke Malaysia untuk mengubat rindu peminat menerusi Konsert AR Rahman - Secret of Success - Live in Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
AR Rahman kembali ke Malaysia untuk mengubat rindu peminat menerusi Konsert AR Rahman - Secret of Success - Live in Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Mengulas undangan Siti, Maideen berkata, semuanya berjalan lancar apabila penyanyi nombor satu Malaysia itu turut menyatakan sokongan terhadap konsert berkenaan.

"Kami tidak berdepan kesukaran mengundang Siti. Ini kerana beliau juga memberi sokongan kepada konsert AR Rahman ini.

"Siti juga tahu kehendak semasa industri muzik tempatan, jadi beliau sentiasa mahu mencuba perkara baharu.

"Beliau akan mendendangkan beberapa lagu popular, cuma saya tidak boleh cerita dengan lebih lanjut.

"Ini adalah elemen kejutan yang akan ditampilkan pada konsert nanti. Bagaimanapun, saya percaya penonton akan terhibur dan tidak akan dikecewakan dalam konsert ini," katanya.

Sementara itu, Maideen bersyukur jualan tiket terus menunjukkan perkembangan positif biarpun hanya berbaki tiga hari lagi menjelang konsert.

"Setakat ini, tiket yang sudah terjual hampir mencecah 50,000 dan itu adalah perkembangan positif. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu menjayakan konsert ini," katanya.