Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Shila, wartawan lerai sengketa lapan tahun

23 Jun 2022 | Farihad Shalla Mahmud

KUALA LUMPUR: Mengambil iktibar atas kontroversi lalu, penyanyi Shila Amzah, 32 berharap konflik dilalui bersama menjadi pengajaran terbesar buat rakan artis lain.

Berdasarkan pengalamannya, Shila atau nama sebenarnya, Nur Shahila Amir Amzah, 32, menasihatkan rakan artis agar apa sahaja masalah dihadapi perlu diselesaikan dengan cara baik, bukannya mengikut emosi.

"Jika boleh, saya nak nasihatkan rakan artis berdepan konflik dengan sesiapa sahaja agar selesaikan dengan cara baik.

"Jangan buang masa turun naik mahkamah kerana tiada perkara baik berlaku selain buang masa dan duit," katanya kepada BH Online dalam satu pertemuan bersama beberapa pengamal media di Restoran Puteri, Sungai Penchala, di sini, petang tadi.

Shila lega selepas bersemuka dengan sekumpulan pengamal media bagi meleraikan sengketa selama lapan tahun.
Shila lega selepas bersemuka dengan sekumpulan pengamal media bagi meleraikan sengketa selama lapan tahun.

Pada pertemuan itu, Shila mengambil peluang berdamai dengan pengamal media yang terbabit dalam kes saman-menyaman yang berlaku, lapan tahun lalu.

Berkongsi perasaannya, penyanyi Tiada Dirimu ini meluahkan rasa lega dalam pertemuan selama tiga jam itu.

"Sebenarnya perasaan mahu berdamai terdetik ketika saya hamil pada 2019.

"Cuma, saya tidak mempunyai ruang bersemuka dengan pengamal media. Sejujurnya, saya sudah tidak mahu menanggung beban dan mengharapkan konflik ini segera berakhir.

"Saya lega dengan pertemuan ini kerana cara pemikiran kami sudah berubah dan semakin matang.

"Andai pertemuan ini berlaku lapan tahun lalu, mungkin ia takkan berlaku sedamai ini," ungkap Shila.

Pada Mac lalu, Shila dalam satu temubual bersama program Melodi TV3 menyesal dengan tindakan saman terhadap sekumpulan wartawan pada 2015 dan memohon maaf kepada pengamal media yang terkesan.

Dalam temubual itu, Shila berasa pengalaman lalunya itu satu pembaziran besar kerana jumlah wang dihabiskan untuk turun naik mahkamah boleh membeli sebuah rumah.