BERITA ABPBH

Sentuhan kreatif Tiara dalam video Satu Dua Tiga, Jom!

[email protected]

KUALA LUMPUR: Video keselamatan Malaysia Airlines (MAS) berjudul Satu Dua Tiga, Jom! menampilkan sentuhan kreatif pertama Puan Seri Tiara Jacquelina selaku pengarah.

Pastinya penumpang menaiki pesawat MAS terpesona menyaksikan video keselamatan berdurasi tujuh minit yang bakal disiarkan bermula Ogos depan.

Satu, Dua, Tiga, Jom! terbitan MAS bersama Enfiniti (M) Sdn Bhd dihasilkan dalam konsep muzikal.

Selain dapat membayangkan hasil sentuhan Satu, Dua, Tiga, Jom! apabila diterajui syarikat produksi yang berpengalaman menghasilkan teater bertaraf mega seperti P Ramlee The Musical dan Puteri Gunung Ledang The Musical, ini juga kali pertama Tiara mengetengahkan bakat sebagai pengarah.

Tiara berkata, perasaannya teruja biarpun kali pertama menduduki kerusi pengarah ketika menerima tawaran pihak MAS mengenai projek berkenaan, Oktober lalu.

"Gementar tetap ada, tetapi rasa teruja memberikan yang terbaik mampu mengatasi ketakutan. Saya memang tidak fikir panjang ketika menerima tawaran ini.

"Saya anggap satu cabaran kerana ia pengalaman pertama sebagai pengarah.

"Namun, saya minta tolong Datuk Yusry Abdul Halim membantu dalam kerja pengarahan bagi menghasilkan video lebih meyakinkan.

"Kita tahu Yusry mahir dalam sudut teknikal seperti penggunaan kamera dan sebagainya," katanya kepada BH Online.

Tiara menyifatkan satu cabaran kerana pengalaman pertama sebagai pengarah dalam menghasilkan video keselamatan MAS. - NSTP/Aziah Azmee
Tiara menyifatkan satu cabaran kerana pengalaman pertama sebagai pengarah dalam menghasilkan video keselamatan MAS. - NSTP/Aziah Azmee

Bagaimanapun, Aktres Terbaik, Festival Filem Malaysia pada 1995 dan Festival Filem Asia Pasifik (2004) itu berkata, tekanan tetap ada.

"Tekanan lebih kepada bagaimana mahu memberikan persembahan video menarik sehingga sukar dilupakan penumpang MAS.

"Lebih lagi, pelanggan MAS terdiri daripada rakyat Malaysia dan antarabangsa.

"Saya mengambil masa tiga bulan menghasilkan konsep video keselamatan. Ia termasuklah persediaan intensif bagi penghasilan jalan cerita, komposisi lagu, latihan sehingga penggambaran intensif selama tiga hari," katanya.

Lebih menarik, Satu, Dua, Tiga, Jom! bukanlah video biasa, sebaliknya menampilkan ramai selebriti terkemuka daripada pelbagai bidang.

Menampilkan lebih 150 kru dan pelakon, video keselamatan terbabit turut mengangkat industri seni persembahan dengan penampilan bakat-bakat bidang berkenaan.

Antara nama besar yang membintangi video itu termasuklah ahli fizik, Tan Sri Mazlan Othman; Ikon Kemanusiaan, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood; Miss Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong James; Gimnas, Farah Ann Hadi; pereka fesyen Syomir Izwa Gupta.

Tiara dan Yusry turut sama menyerikan video itu, selain Diana Danielle, Datin Lisa Surihani, Sangeeta Krishnasamy, Ida Mariana, Azman Naim, kru kabin MAS dan ramai lagi.