Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

'Sebar fitnah sebab iri hati' - suami Nora

05 Dec 2021 | Farihad Shalla Mahmud

KUALA LUMPUR: Suami kepada penyanyi Nora Ariffin iaitu Dr Rushdi Ramli, 55, menyifatkan segala dakwaan sebagai fitnah dan berniat jahat membabitkan isterinya seperti tersebar dalam media sosial, hari ini.

Kecewa fitnah yang dilemparkan, Dr Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya mengharapkan, mereka yang menyebarkan fitnah mendapat pembalasan setimpal atas perbuatan mereka.

"Saya, Rushdi Ramli secara jujur dan seikhlas hati ingin menjelaskan bahawa segala kenyataan yang tular pada saat ini bertujuan mencemarkan nama baik dan perkahwinan antara saya dan Nora. Ia adalah satu fitnah, tohmahan berniat jahat dan buruk.

"Semoga Allah SWT memberi balasan setimpal terhadap mereka berniat jahat terhadap perkahwinan kami," katanya menerusi mesej rakaman suara yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp kepada BH Online.

Dr Rushdi tidak menolak kemungkinan semua fitnah yang tersebar timbul disebabkan perasaan iri hati pihak tertentu terhadap mahligai yang baru dibinanya itu.

"Apa yang dicanangkan dan tular tidak betul serta tepat. Mungkin ada rasa iri hati dalam kalangan mereka menyebabkan isu ini ditimbulkan," tambahnya.

Nora menyifatkan penjelasan suaminya adalah jalan terbaik meleraikan segala fitnah yang timbul. - Foto Nora Ariffin
Nora menyifatkan penjelasan suaminya adalah jalan terbaik meleraikan segala fitnah yang timbul. - Foto Nora Ariffin

Sementara itu, Nora yang popular dengan lagu Hanya Satu dan Hadirlah Kekasih ini turut menyifatkan semua dakwaan sebagai fitnah.

"Saya tidak tahu apa-apa, jauh sekali rasa kecewa kerana gosip yang tersebar tidak benar sama sekali.

"Cerita itu sama seperti kisah dakwaan saya berkahwin dengan Tan Sri Annuar Musa suatu ketika dahulu, di mana saya sendiri tidak tahu apa-apa mengenainya," ujar Nora.

Mengulas tindakan suami memberikan penjelasan terhadap isu itu, Nora menganggap ia adalah jalan terbaik meleraikan segala persoalan yang timbul.

"Saya sangat menghormati suami. Bagi saya, suami seorang yang berilmu dan lebih tahu apa yang dilakukan," katanya.

Kontroversi perkahwinan penyanyi bersuara gemersik ini tercetus apabila ada netizen menuduhnya sebagai perosak rumah tangga dan menyembunyikan tarikh perkahwinan yang dipercayai berlangsung dua tahun lalu.

Jumaat lalu, penyanyi yang popular dengan lagu Hanya Satu ini mendedahkan sudah bergelar isteri kepada Dr Rushdi yang juga sahabat baik arwah suami, Allahyarham Johan Nawawi.

Nora bagaimanapun enggan menjelaskan butiran lanjut mengenai pernikahannya itu.