BERITA ABPBH

Search kongsi cerita empat dekad

[email protected]

KUALA LUMPUR: Ketepikan kontroversi menimpa band ikonik ini kerana biarpun ahli berpecah dua, malah kemampuan beraksi secara 'live' sering dipertikaikan, semangat Search tetap utuh.

Katalah apa sahaja, band tersohor dianggotai Datuk Amy, Man Kidal, Hillary Ang dan Nasir Daud ini tidak pernah patah semangat atau berkecil hati. Bagi mereka, semua itu asam garam selepas empat dekad mencari rezeki di pentas muzik.

Buktinya, pada Konsert Rock On Search: The Legends di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, Ahad lalu, Search menunaikan janji membawa penonton mengimbau liku awal pembabitan mereka dalam dunia muzik.

Rentak Search bermula dengan menghiburkan pengunjung sebuah kelab hiburan di ibu negara selepas merantau dari Johor Bahru, Johor hinggalah muncul antara band rock terunggul tanah air.

Membuka kisah, Amy berkata, idea merantau ke Kuala Lumpur untuk menjadi artis rakaman tercetus ketika beliau dan rakan melepak di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Johor Bahru.

"Biasalah darah muda, semangat hendak merantau itu membara. Sampai di ibu kota, kami mendapat tawaran menghiburkan pengunjung di Red Rooster Club di Medan Tuanku. Di situ, kami sering membawakan lagu irama rock & roll. Lagu yang sering kita nyanyikan adalah Mr Crowley yang dipopularkan Ozzy Osbourne.

"Selepas merakamkan album, kami bangga kerana berjaya merubah landskap muzik tempatan yang sebelum itu didominasi muzik jazz dan raggae," katanya.

Pada malam itu, Amy membuka gelanggang persembahan dengan lagu Gelora Cintaku diikuti dengan lagu rancak, Balada Pemuzik Jalanan dan Pelesit Kota.

Search menunaikan janji membawa penonton mengimbau liku awal pembabitan dalam dunia muzik ketika Konsert Rock On Search: The Legends di Istana Budaya (IB), Ahad lalu. - NSTP/Aizuddin Saad
Search menunaikan janji membawa penonton mengimbau liku awal pembabitan dalam dunia muzik ketika Konsert Rock On Search: The Legends di Istana Budaya (IB), Ahad lalu. - NSTP/Aizuddin Saad

Daripada irama rancak, Search beralih kepada muzik perlahan menerusi untaian indah seperti Meniti Titian Usang, Gadisku, Kejora, Nigina dan Rozana. Ini membuatkan Panggung Sari bergema dengan iringan nyanyian penonton persis vokalis latar konsert berkenaan.

"Untuk konsert ini, saya kena nyanyikan lagu Isabella. Kalau tidak, pasti IB akan dibakar penonton," kata Amy sebelum mendendangkan lagu 'berhantu' itu disusuli Fantasia Bulan Madu.

Pada segmen itu, Amy mengambil kesempatan turun dari pentas untuk bertemu penonton dan merakam foto kenangan bersama mereka.

Walaupun stamina sering dipersoalkan, namun Amy membuktikan nyanyiannya terutama bagi lagu bernada tinggi, padu dan tidak terkucil.

Malah, Amy cukup agresif atas pentas seperti berguling sambil menyanyi. Aksi itu agak jarang kita lihat dilakukan vokalis rock lain.

Muzik selalu seiring fesyen dan diakui gaya Amy ketika menjayakan konsert itu mencuri perhatian.

Amy tampil dengan dua penampilan berbeza iaitu gaya persis samurai, manakala kot labuh rona merah menjadi pelengkap imej kedua.

Untuk peminat yang sering menyaksikan kumpulan ini beraksi, pastinya Konsert Rock On Search: The Legends bukanlah yang terbaik.

Namun, hakikat yang harus diterima adalah Search bertaraf legenda dan kekal pada kelas tersendiri.