BERITA ABPBH

'Saya dah failkan cerai' - Siti Saleha

[email protected]

KUALA LUMPUR: Aktres popular, Siti Saleha, 31, mengesahkan memfailkan perceraian terhadap suami, Ahmad Lutfi Azhar, 35, selepas berdepan keretakan rumah tangga.

Memilih tidak berkongsi lanjut punca perceraian, Saleha akur dengan ketentuan hidupnya.

"Saya memfailkan kes cerai ini atas kebenaran mahkamah.

"Saya mohon pengertian ramai terhadap apa yang saya lalui.

"Selanjutnya, saya enggan mengulas. Terima kasih," demikian reaksi spontan pelakon 7 Hari Mencintaku itu kepada BH Online.

Pagi tadi, Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-33 itu selaku plaintif hadir ke Mahkamah Rendah Syariah, Klang, Selangor bagi sebutan kes perceraian dengan Ahmad Lutfi.

Nyata, berita itu amat mengejutkan kerana rumah tangga Saleha dan Ahmad Lutfi disangka bahagia.

Memilih tidak berkongsi lanjut punca perceraian, Saleha akur dengan ketentuan hidup apabila memfailkan perceraian. - Foto IG Siti Saleha
Memilih tidak berkongsi lanjut punca perceraian, Saleha akur dengan ketentuan hidup apabila memfailkan perceraian. - Foto IG Siti Saleha

Lebih 13 tahun menceburi dunia seni, pelakon drama Scammer itu mendaki populariti dan memperdagangkan bakat tanpa mencampuri soal peribadi.

Malah, sejak menamatkan zaman bujang hanya sesekali kisah peribadi dikongsi ramai termasuk menantikan soal cahaya mata selepas empat tahun mendirikan rumah tangga.

Jujurnya, Saleha berkata, tidak semua perkara yang dirancang mampu diperoleh dengan sekelip mata.

"Ada perkara tidak menjadi seperti yang didambakan," katanya kepada B*POP pada Mei lalu.

Menerusi tinjauan BH Online, kali terakhir wanita kacukan Melayu-Inggeris itu berkongsi gambar bersama Ahmad Lutfi pada Mac lalu sempena ulang tahun ke-35.

Pemenang trofi Asia Model Awards 2020 di Seoul, Korea Selatan itu mendirikan rumah tangga pada 28 Julai 2017 dan tidak dikurniakan cahaya mata.

Tahun ini, wanita kelahiran Basildon, England itu berjaya membolosi dua kategori, Pelakon TV Wanita Popular dan Gandingan Serasi Drama Popular bersama Shukri Yahaya bagi drama 7 Hari Mencintaiku 2 pada ABPBH 34.

Hingga kini, Saleha mendapat sokongan teguh kelab peminat, Team Siti Saleha.