BERITA ABPBH

Saingan sengit Aliff, Meerqeen

[email protected]

KUALA LUMPUR: Selepas bekerjasama dalam karya, kini penyanyi dan komposer muda, Aliff Iskandar bersaing dengan Meerqeen apabila berjaya membolosi kelompok Top 5 bagi kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34.

Menyifatkan persaingan sihat antara dua kenalan, Aliff yang juga komposer dan penulis lirik single pertama nyanyian Meerqeen berjudul Menunggu tidak dinafikan, Meerqeen menjadi saingan sengit.

"Secara jujurnya, agak sukar memperoleh peluang kemenangan apabila melihat senarai Top 5. Namun, pesaing paling kuat tentulah Meerqeen dan Nadhir Nasar.

"Saya tidak menidakkan Meerqeen memberikan persaingan sengit kerana melihat hasil kerjanya sangat bagus dan bukan calang-calang.

"Bagaimanapun, saya teruja melihat nama kami dicalonkan selepas bekerjasama menghasilkan single Menunggu," katanya kepada BH Online.

Berkongsi perasaan apabila mengetahui nama membolosi kelompok Top 5 yang diumumkan Ahad lalu, penyanyi kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu berkata, dia tidak menyedari ramai sebenarnya menyokongnya dari balik tabir.

"Sebenarnya, saya ada terfikir mahu menyemak siapa yang disenaraikan dalam kelompok Top 5, memandangkan saya tahu pengumumannya diadakan pada hari berkenaan.

"Namun, saya sangat terkejut diberitahu berjaya membolosi kelompok Top 5. Jika mahu dibandingkan dengan 19 calon lain, saya tidak tahu bagaimana kekuatan undian saya.

"Saya mula sedar ramai menyokong secara senyap. Saya ada membuat kumpulan bersama peminat, tetapi tidak ramai yang menyertainya.

"Mungkin undian ini banyak datangnya daripada rakan banyak tolong saya dari awal sehingga sekarang," katanya.

Aliff akan muncul dengan single terbaharu berjudul Takdir yang juga lagu runut bunyi drama Saat Ku Tak Takluk Cinta Ini siaran TV3. - Foto IG Aliff Iskandar
Aliff akan muncul dengan single terbaharu berjudul Takdir yang juga lagu runut bunyi drama Saat Ku Tak Takluk Cinta Ini siaran TV3. - Foto IG Aliff Iskandar

Berterima kasih kepada peminat orang ramai yang mengundinya, penuntut Institut Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur ini mengakui, dalam berserah pada rezeki dan ketentuan Allah, dia juga percaya kejayaan terletak pada usaha.

"Saya tidak seratus peratus berserah sebab saya tahu kejayaan juga berdasarkan usaha. Jadi, terpulang bagaimana cara seseorang artis mengajak peminat mengundi.

"Jika saya rajin mempromosikan dan mengajak peminat mengundi, sedikit sebanyak usaha akan membuahkan hasil.

"Kerana saya percaya, sekiranya saya dapat membawa pulang trofi kemenangan ini, mungkin ia dapat membuka mata peminat yang belum mengenali dan tahu apa yang Aliff buat dalam industri muzik.

"Banyak kesan positif yang saya akan terima jika beroleh kemenangan. Jadi, sekiranya menang, saya merasakan ini adalah satu peluang dan kenangan paling bermakna dalam kerjaya," katanya yang mahu berusaha mengeluarkan lebih banyak karya untuk menghargai peminat.

Terdahulu, single Perit nyanyian Aliff bukan sahaja diterima ramai, tetapi boleh didengari menerusi empat drama apabila digunakan sebagai lagu runut bunyi.

Selain drama Perempuan Tanpa Dosa, single Perit boleh didengari menerusi drama Angkara Cinta, Bougainvillea dan Rahimah Tanpa Rahim.

Dalam perkembangan lain, Aliff yang juga artis naungan Indigital Music itu akan tampil dengan single baharu berjudul Takdir. Single berkenaan dipilih menjadi runut bunyi bagi Saat Ku Tak Takluk Cinta Ini siaran slot Samarinda di TV3, tidak lama lagi.

Kini, Aliff sedang merakamkan video muzik untuk single Takdir.