Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Roh wakil Malaysia ke Oscar

04 Nov 2020 | Zaidi Mohamad

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengumumkan filem terbitan Kuman Pictures Sdn Bhd berjudul Roh dipilih mewakili Malaysia bagi penilaian Anugerah Akademi Ke-93 untuk kategori Anugerah Filem Cereka Antarabangsa.

FINAS dalam kenyataan menyebut, keputusan dibuat Jawatankuasa Pemilihan Filem FINAS yang merangkumi penggiat industri filem tempatan profesional dan berpengalaman.

Filem Roh diilhamkan daripada filem klasik Jepun berjudul Onibaba. Foto Ihsan Kuman Pictures Sdn Bhd
Filem Roh diilhamkan daripada filem klasik Jepun berjudul Onibaba. Foto Ihsan Kuman Pictures Sdn Bhd

"Pemilihan melalui proses penilaian terperinci berdasarkan kriteria perfileman seperti pengarahan, penceritaan, sinematografi, lakon layar, lakonan, adunan muzik, skor muzik, penataan seni dan suntingan filem serta pematuhan peraturan pertandingan ditetapkan penganjur," kata kenyataan itu.

Anugerah Akademi atau Oscar ke-93 akan dianjurkan April depan.

Kenyataan FINAS menyebut, sejak 2004, FINAS mencalonkan sebuah filem tempatan untuk bertanding pada Anugerah Akademi bagi kategori sama kerana setiap negara diminta menghantar pencalonan.

"Filem Roh meneruskan kesinambungan ini bagi edisi Oscar ke-93.

"FINAS sudah membuka penyertaan dan menghebahkan kepada penggiat industri perfileman tempatan bagi menghantar penyertaan untuk dipertimbangkan bagi mewakili Malaysia.

"FINAS menerima penyertaan yang amat memberangsangkan daripada penggiat industri filem tempatan," katanya.

Kenyataan itu menambah, FINAS sentiasa komited dalam menyokong segala usaha ke arah memacu industri perfileman Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Sebelum ini, filem Roh lakonan Namron, Farah Ahmad, Mhia Farhana, Harith Haziq dan June Lojong menyertai pelbagai festival filem antarabangsa termasuk yang terbaru, TOHorror Fantastic Film Festival di Itali.

Roh turut menyertai acara lain seperti Festival Filem Antarabangsa Singapura; Festival Filem Jogja-NETPAC Asia; Festival Filem Udine Far East dan Festival Filem New York Asia.

Filem Roh diilhamkan daripada filem klasik Jepun berjudul Onibaba.

Filem ini berlatarbelakangkan kisah zaman dahulu di pinggir sebuah hutan.

Cerita berkisar keluarga daif merangkumi Mak lakonan Farah; Along (Mhia) dan Angah (Harith) didatangi kanak-kanak perempuan yang dianggap bukan sebarang budak iaitu Adik (Putri Qaseh).

Adik memberi ramalan bahawa apabila bulan mengambang, seluruh ahli keluarga akan mati.

Seorang dukun yang menggelarkan dirinya Tok (June) menjangka malapetaka akan tiba. Datang pula lelaki misteri, Pemburu (Namron) yang bukan sahaja mencari anaknya yang hilang, namun, ada tujuan lain.