BERITA ABPBH

Risau hilang 'job', kena pulau jadi punca diam diri

[email protected]

KUALA LUMPUR: Bimbang dipulaukan dan hilang pekerjaan menjadi antara punca segelintir pekerja seni berdiam diri apabila berdepan masalah gangguan seksual.

Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) percaya masih ramai pekerja seni menganggap gangguan seksual sebagai kes terpencil, bimbang menanggung malu dan tidak sanggup berdepan pandangan skeptikal masyarakat hingga enggan mengadu.

Presiden SENIMAN, Zed Zaidi berkata, jumlah pekerja seni yang mengadu menjadi mangsa gangguan seksual tidak ramai.

"Kami pernah terima aduan artis yang menjadi mangsa gangguan seksual, tetapi, jumlahnya tidak banyak. Walaupun masalah ini wujud, ramai tidak berani tampil ke hadapan.

"Selalunya mangsa datang kepada kami untuk membuat aduan.

"Namun, langkah seterusnya terpulang kepada mangsa. Persatuan hanya bertindak sebagai rujukan untuk artis yang memerlukan, selebihnya, SENIMAN tidak boleh memandai-mandai.

"Kita hanya boleh menasihati mereka yang menjadi mangsa gangguan seksual untuk membuat aduan ke balai polis agar tindakan boleh diambil," katanya kepada BH Online.

Namun, tambah Zed, jika artis yang mendakwa menjadi mangsa pencabulan seksual tidak mahu mengambil langkah selanjutnya selepas bertemu SENIMAN, pihaknya tidak boleh memaksa.

"Kita tidak boleh melangkaui mereka dengan membuat aduan bagi pihak mangsa. SENIMAN tiada bukti dan jika berbuat demikian, kita pula yang dihentam," katanya.

SENIMAN percaya ramai pekerja seni anggap gangguan seksual sebagai kes terpencil, bimbang malu dan tidak sanggup berdepan pandangan skeptikal masyarakat hingga enggan mengadu. - Gambar Hiasan
SENIMAN percaya ramai pekerja seni anggap gangguan seksual sebagai kes terpencil, bimbang malu dan tidak sanggup berdepan pandangan skeptikal masyarakat hingga enggan mengadu. - Gambar Hiasan

Zed menggesa golongan seni yang berdepan gangguan seksual tampil membuat aduan supaya tindakan boleh dikenakan ke atas pelaku.

"Kalau betul berlakunya gangguan seksual, buatlah aduan kepada polis. Jika insiden berlaku dalam tempoh penggambaran, mereka boleh membuat laporan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasioanal Malaysia (FINAS)," katanya.

Zed berkata, SENIMAN sedar ada mangsa kes gangguan seksual takut hilang pekerjaan atau 'dipulaukan' jika tampil membuat aduan.

"Namun, jika aduan dibuat dan tindakan undang-undang diambil, ia boleh memberi pengajaran kepada pelaku dan mengelak kejadian serupa berulang," katanya.

Zed berkata, kesedaran mengenai gangguan seksual dalam kalangan masyarakat masih terlalu rendah. Justeru, pendidikan mengenai gangguan seksual di tempat kerja harus dititikberatkan.

Sehubungan itu, SENIMAN berhasrat bekerjasama dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk menyebarkan maklumat mengenai gangguan seksual.

"Sebelum ini, kita pernah bekerjasama dengan LPPKN menganjurkan kempen kesedaran mengenai perkahwinan dan hubungan suami isteri.

"Kita juga dalam proses melancarkan kempen kesedaran kanser bersama Majlis Kanser Nasional (MAKNA). Mungkin selepas ini, kita akan beri cadangan kepada LPPKN mengenai kempen gangguan seksual.

"Usaha ini penting agar masyarakat dapat membuka mata dan lebih berani bersuara. Orang ramai perlu sedar bahawa gangguan seksual bukanlah perkara remeh," katanya.