Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Rezeki Ben berlipat ganda menang ABPBH

27 Oct 2021 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Menggenggam trofi Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33, aktor, Ben Amir akui, dia menyimpan hasrat mengulangi kejayaan sama pada ABPBH 34.

Namun, Ben atau nama sebenarnya, Muhammad Amir Sabaruddin akui, hakikatnya bukan mudah meraih kemenangan apabila bersaing dengan nama besar dan popular seperti Adam Lee, Hun Haqeem, Nazim Othman dan Shukri Yahaya.

"Jujurnya, saya mengimpikan dapat menggenggam trofi yang sama, tahun ini.

"Bagaimanapun, melihat pesaing yang terdiri daripada nama besar dan hebat, jadi saya hanya berserah pada rezeki. Saya kena akur jika dikalahkan oleh mereka.

"Berjaya disenaraikan berada dalam kelompok lima popular, itu sudah membuatkan saya bersyukur. Jika menang, bonus yang berganda.

"Saya tambah teruja apabila mengetahui berada dalam senarai 10 artis yang undian tertinggi di peringkat awal. Ini kerana bukan mudah mengekalkan populariti, memandangkan industri kreatif baru bernafas semula sejak dilanda pandemik COVID-19. Banyak projek drama masih tergendala," katanya kepada BH Online.

Ben menghargai sokongan peminat, malah mahu menambahkan kualiti lakonan kerana ada kelemahan yang perlu diperbaiki. - Foto IG Ben Amir
Ben menghargai sokongan peminat, malah mahu menambahkan kualiti lakonan kerana ada kelemahan yang perlu diperbaiki. - Foto IG Ben Amir

Justeru, sekiranya dapat genggam trofi Pelakon TV Lelaki Popular sekali lagi, Ben berkata, ia secara tidak langsung dapat melonjakkan namanya.

"Alhamdulillah, rezeki saya berlipat ganda selepas menang trofi Pelakon TV Lelaki Popular, tahun lalu.

"Namun, bukan senang mahu menggenggam trofi ini sekali lagi, namun, kalau dapat ia tentu memberi kesan yang positif pada kerjaya lakonan saya.

"Saya akui, menerima tawaran pelbagai karakter yang lebih besar dan penting selepas kemenangan.

"Bagaimanapun, apa yang dilakukan perlulah selari dengan trofi yang diterima. Takkan menang, tetapi lakonan masih pada takuk lama dan tiada perubahan.

"Jadi, apa yang boleh dikatakan, menang sesebuah anugerah, mutu lakonan kita perlu dipertingkatkan," katanya yang mencipta gelombang populariti menerusi drama Sweet Dreams.

Ben tidak hanya tersenarai dalam kelompok Top 5 kategori Pelakon TV Lelaki Popular, malah turut membolosi kategori Gandingan Serasi Drama Popular menerusi lakonan bersama Amyra Rosli dalam drama Sang Pewaris.

Berterima kasih atas sokongan peminat, Ben berkata, semua itu adalah usaha keras pengundi.

"Bukan hanya kelab peminat, malah bukan ahli kelab peminat saya turut mengundi. Terima kasih kepada semua kerana ia membuktikan saya masih relevan dalam industri seni.

"Dan terima kasih juga kepada peminat Amyra yang memberi impak pada undian kali ini," katanya yang disokong kelab peminat, Ben Amir Official.

Dalam pada itu, melihat perjalanannya dalam bidang lakonan, Ben berkata, dia berbangga selepas banyak mengorbankan masa dan tenaga.

"Jujurnya, bukan senang mahu mengekalkan populariti. Saya sangat menghargai sokongan diberikan peminat.

"Saya percaya atas sokongan ini, saya perlu menambahkan kualiti lakonan kerana saya juga ada kelemahan yang perlu diperbaiki," katanya.

Mengulas perkembangan terkini, Ben baru sahaja selesai penggambaran drama Tikam arahan Hadith Omar. Drama itu turut dibintangi Michael Ang, Yuna Rahim, Intan Najuwa dan Josiah Hogan.

"Insya-Allah, saya akan masuk penggambaran drama Bicara Budi. Saya pegang watak peguam dalam drama ini," katanya.

Terdahulu, bekas graduan jurusan Diploma Pengajian Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Lendu, Melaka bermula dengan finalis Hero Remaja 2012 sebelum bergelar pelakon.

Enam tahun menanti, pelakon kelahiran Kuala Lumpur itu mula meraih perhatian menerusi drama Sweet Dreams dan Chandelier.