Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Raja Ilya rakam lagu Hindi dalam sarat

13 May 2022 | Zaidi Mohamad

KUALA LUMPUR: Ketika kandungan mencecah 32 minggu dan menghitung hari untuk bersalin anak sulung, pelakon, Raja Ilya sempat merakamkan lagu Bollywood saduran berjudul Zara Zara selepas diyakinkan penerbit dari Malaysia.

Lagu Hindi dendangan asal Bombay Jayashri itu pernah dijadikan runut bunyi bagi filem Rehnaa Hai Terre Dil Mein yang diterbitkan pada 2001. Filem itu menampilkan lakonan hebat bintang Bollywood iaitu Madhavan, Saif Ali Khan dan Dia Mirza.

Berkongsi pengalaman itu, Raja Ilya atau nama penuh, Raja Ramilah Begum Raja Mohammad berkata, komposer dari Malaysia, Krishinthen Shanmugam menawarkan peluang merakamkan single berkenaan, September tahun lalu.

"Lama saya fikir untuk menyanyikan lagu ini atau sebaliknya. Apatah lagi, ketika ini, saya berbadan dua. Lagipun, hakikatnya, saya bukan penyanyi profesional.

"Selama ini saya tidak pernah menyanyikan lagu Bollywood secara serius. Saya tidak yakin dengan diri sendiri. Namun, Krishinthen yakin saya boleh melakukannya.

Raja Ilya cabar diri merakamkan lagu Bollywood saduran, Zara Zara biarpun tidak pernah mendapat latihan profesional dalam bidang nyanyian. Foto Ihsan Raja Ilya
Raja Ilya cabar diri merakamkan lagu Bollywood saduran, Zara Zara biarpun tidak pernah mendapat latihan profesional dalam bidang nyanyian. Foto Ihsan Raja Ilya

"Dia hantar 'demo' lagu itu untuk saya cuba nyanyikan," katanya kepada BH Online.

Tambah isteri kepada Trent Garret itu, kesungguhan dan keyakinan ditunjukkan Krishinthen tidak mampu ditolak lagi.

"Fikir punya fikir, saya akhirnya bersetuju dan mencabar diri. Akhirnya, saya jatuh hati dengan lagu itu yang diakui sangat popular dan ramai orang suka.

"Ramai yang menyanyikan lagu itu dan dikongsi di YouTube," katanya yang sudah melancarkan lagu berkenaan di YouTube dan media sosial.

Namun, akui Raja Ilya, proses rakaman single berkenaan bukanlah mudah.

"Apatah lagi, saya menetap di Perth, Australia dan Krishinthen di Kuala Lumpur. Namun, dengan kemajuan teknologi, proses rakaman lancar.

"Namun, banyak kesilapan dilakukan ketika rakaman. Saya dibimbing banyak kali untuk memperbetulkan kelemahan dan kekurangan termasuk cara sebutan bahasa Hindi serta tempo," katanya.

Bintang filem Suamiku, Encik Perfect 10 itu menambah, rakaman dihantar ke sebuah studio muzik di London, United Kingdom (UK) untuk diadun secara profesional.

"Ketika itu, bertambah debaran. Pelbagai rasa mencengkam sepanjang proses penghasilan single berkenaan dari mula hingga penghujungnya," katanya.

Raja Ilya bersyukur ketika sedutan atau 'teaser' single Zara Zara dimuat naik, ramai pengikut memuji dan tidak sabar menanti rakaman penuh.

"Saya tawakal dan anggap ini hanya percubaan suka-suka. Kalau ada yang minat, saya anggap bonus. Kalau sebaliknya, saya reda," katanya.

Raja Ilya berkata, sesuai dengan pelancaran single Zara Zara, majlis meraikan kelahiran bayi sulung atau 'baby shower' yang bakal dianjurkan hujung minggu ini, bertemakan Bollywood.

"Saya anggap peluang merakamkan single ini sebagai rezeki anak dan suami," katanya yang mendirikan rumah tangga dengan Garret pada Disember 2018.

Mengikut kiraan doktor, Raja Ilya dijangka melahirkan anak perempuan sulungnya, Julai ini.