Pusaka uji ketahanan fizikal mental Syafiq

[email protected]

KUALA LUMPUR: Bukan sedikit cabaran yang dilalui pelakon popular, Syafiq Kyle untuk melunaskan watak Inspektor Nuar Ishak dalam filem terbarunya, Pusaka.

Namun, Syafiq yang menjulang trofi Pelakon Lelaki Popular Alha Alfa, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 32 mengakui, segala pengorbanannya berbaloi apabila melihat hasil akhir filem itu.

Pelakon yang terkenal dengan watak Ustaz Adam dalam drama rantaian Nur itu berkata, dia terkejut dan bagaikan tidak percaya mampu melunaskan tanggungjawab itu dengan berkesan.

“Semua itu tidak akan berlaku tanpa kerja keras pengarah, Razaisyam Rashid membentuk karakter saya. Dia banyak memberikan bimbingan dan tunjuk ajar sepanjang penggambaran.

“Razaisyam berjaya mencungkil potensi dalam diri saya. Peranan pengarah sangat penting dan untuk memberikan yang terbaik, ada ketika, kami bertelagah.

“Masing-masing ada pendapat sendiri, namun ia tidak berlarutan sehingga ke luar lokasi penggambaran,” katanya.

Menceritakan pengalaman membintangi filem terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Director's Think Tank itu, Syafiq berkata, paling mencemaskan ketika menjayakan babak dia bertarung dengan adiknya, Nur lakonan Mimi Lana.

“Untuk babak itu, tubuh saya perlu digantung dan ia membuatkan saya sangat tidak selesa, selain perlu menahan sakit.

“Saya terpaksa berlagak seperti tiada apa-apa ketika melontarkan dialog. Penggambaran pula dibuat pada waktu malam dalam bilik kecil.

“Kami mengambil masa sehingga empat jam untuk menyelesaikan babak itu. Memang nampak senang, tetapi ia sebenarnya sangat menguji. Namun, saya anggap ia pengalaman yang sangat berguna,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Rakan & Penaja Rasmi

Akhbar
Rasmi
Penyiar
Rasmi
Penaja
Utama
Penaja
Bersama
Radio
Rasmi
Platform Digital
Rasmi
Media
Digital Rasmi
Kapsul Hiburan
Rasmi