BERITA ABPBH

PRU15 kaburi promosi Remp-it 2

[email protected]

KUALA LUMPUR: Mudah dimengertikan apabila Farid Kamil gagal menahan sebak ketika berucap pada malam gala filem pertama terbitannya, Remp-it 2 di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Cukup difahami kebimbangan yang bersarang dalam minda anak seni berusia 41 tahun ini apabila mahu mempromosi dan memasarkan filem terbarunya pada musim Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), apatah lagi, tumpuan ramai kini terarah kepada pengumuman calon Perdana Menteri ke-10.

Atas faktor itu, tidak hairanlah, Farid mengaku sukar bagi dirinya merealisasikan projek filem Remp-it 2 yang juga kesinambungan dengan versi pertama yang ditayangkan pada 2006.

Farid atau nama sebenar, Farid Kamil Zahari mengaku PRU15 sedikit sebanyak mengganggu strategi pemasaran filem Remp-it 2. Tiada lain, Farid cukup mengharapkan sokongan peminat untuk berkunjung ke pawagam, mulai hari ini, bagi menonton filem itu.

"Secara jujurnya, apabila bertembung dengan PRU15, sedikit sebanyak mengganggu promosi filem saya.

"Sudah tentu, apabila berdepan situasi ini, saya sebagai penerbit menghadapi tekanan yang sangat besar.

"Poster filem saya perlu lawan dengan poster dan bendera parti politik. Jadi, sudah tentu ini menjadi perkara sukar bagi penerbit baharu seperti saya untuk mempromosikan karya ini.

"Namun, Alhamdulillah, sebaik PRU15 selesai, saya menggerakkan aktiviti promosi filem Remp-it 2," katanya.

Pada 2006, filem Remp-it lakonan Farid mencetus fenomena dengan mengaut jualan tiket RM4.5 juta.

Selepas 16 tahun, Farid kembali dengan Remp-it 2 yang membawa tema lebih matang, malah, mengangkat kisah kekeluargaan.

Remp-it 2 memaparkan kesinambungan kehidupan watak utama, Madi, lakonan Farid yang berazam menjadi pelumba motosikal profesional.

Madi bekerja sebagai jurulatih di sebuah pusat latihan motosikal yang dimiliki Roy lakonan Ahirine Ahirudin. Pada masa sama, Madi mengusahakan bengkel dengan sahabatnya, Macha lakonan Cat Farish.

Konflik timbul apabila seorang kanak-kanak muncul dan mendakwa Madi adalah bapanya.

Farid mengaku Remp-it 2 adalah filem yang dekat dengan dirinya dan berharap naskhah arahannya itu mendapat reaksi positif penonton.

"Sebagai penerbit baharu, sudah tentu saya mengharapkan sokongan anda. Apatah lagi, istilah rempit sebati dalam diri saya.

"Saya mula terbabit dalam kegiatan lumba haram sejak usia 15 tahun.

"Apabila filem Remp-it mengaut RM4.5 juta, saya pasang cita-cita di mana jika mampu menjadi penerbit, saya mahu mahu menghasilkan filem genre sukan permotoran," katanya.

Farid gagal menahan sebak apabila meluahkan kebimbangan PRU15 sedikit sebanyak mengganggu strategi pemasaran filem Remp-it 2. - NSTP/Amiruddin Sahib
Farid gagal menahan sebak apabila meluahkan kebimbangan PRU15 sedikit sebanyak mengganggu strategi pemasaran filem Remp-it 2. - NSTP/Amiruddin Sahib

Tambah Farid, Remp-it 2 menitikberatkan kandungan lebih positif bagi membolehkan ia sesuai ditonton seisi keluarga.

Karyanya juga menggunakan teknologi pembikinan filem baharu yang menepati cita rasa pelumba motosikal.

"Dalam tempoh 16 tahun, macam-macam perkara boleh terjadi. Jadi, saya hasilkan skrip lebih matang dan cenderung kepada nilai kekeluargaan.

"Dahulu, mungkin ada kekangan hendak bawa anak menonton Remp-it, tetapi sekarang, dengan mesej yang cuba saya sampaikan, filem ini boleh ditonton generasi muda," katanya.

Tambah menarik, Farid menampilkan legenda sukan permotoran tempatan seperti Gabit Saleh dalam Remp-it 2.

Farid menyifatkan perjuangan mereka yang tidak kenal erti jemu, malah, berani mempertaruhkan nyawa dalam dunia perlumbaan motosikal, wajar dijadikan inspirasi kepada anak muda.

"Seperti pejuang tanah air yang lain, mereka perlu dirai dan kisah hidup mereka perlu difilemkan.

"Gabit misalnya, tidak pernah berlumba secara haram biarpun beliau adalah tokoh dunia permotoran. Mesej positif seperti itulah yang kita mahu ketengahkan," katanya.

Justeru, filem Remp-it 2 dianggap salah satu usaha Farid untuk melahirkan pelumba motosikal yang mampu mengharumkan nama negara, suatu hari kelak.

Farid bersyukur filem Remp-it 2 mendapat reaksi positif daripada kenalan di Indonesia.

"Ketika saya berada di Jakarta untuk menjayakan penggambaran filem baharu, Anwar, saya sempat menayangkan 'teaser' filem Remp-it 2.

"Alhamdulillah, saya dapat maklum balas positif. Mereka suka filem ini kerana naskhah berkaitan dunia permotoran tidak pernah ditayangkan di republik itu," katanya.

Berikutan itu, Farid mencari peluang untuk menayangkan filem Remp-it 2 di Indonesia.

Selain Ahirine, Cat dan Gabit, Remp-it 2 dibintangi Julia Hana, Izzue Islam, Niezam Zaidi, Farez Ridzwan, Shiha Zikir, Chiwan Chilok, Mamak Puteh, Rudy GTB dan Shahkimin.

Filem ini turut menampilkan anak Farid hasil perkongsian hidup dengan Diana Danielle, iaitu Muhammad Kamil yang kali pertama beraksi di layar perak.