Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Projek filem Guthrie Dawn Raid diteruskan

06 Aug 2022 | Farihad Shalla Mahmud

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Bront Palarae meneruskan hasrat menghasilkan filem diangkat daripada peristiwa bersejarah iaitu Guthrie Dawn Raid atau Serangan Subuh Guthrie pada 1981, biarpun berdepan kekangan.

Berkongsi perkembangan terkini projek pembikinan filem diberi judul Dawn Raid : The Hands That Rattled The Queen itu, Bront berkata, beliau menghadiri sesi 'pitching' buat kali keempat dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), baru-baru ini.

"Sebelum ini, kami memohon Dana Filem Kenegaraan yang dikeluarkan FINAS, namun gagal. Baru-baru ini, perbadanan itu pelawa kami memohon dana khusus untuk pembikin filem.

"Hanya selepas dana yang dimohon itu lulus, barulah projek pembikinan filem ini digerakkan.

Treler filem Dawn Raid : The Hands That Rattled The Queen yang menampilkan dari kiri Shaheizy Sam, Sofia Jane, Iedil Putra dan Tuan Faisal dimuat naik di YouTube pada 2018. Foto Ihsan Facebook Filem Dawn Raid : The Hands That Rattled The Queen
Treler filem Dawn Raid : The Hands That Rattled The Queen yang menampilkan dari kiri Shaheizy Sam, Sofia Jane, Iedil Putra dan Tuan Faisal dimuat naik di YouTube pada 2018. Foto Ihsan Facebook Filem Dawn Raid : The Hands That Rattled The Queen

"Sejujurnya ada pelabur yang berminat, namun semuanya bergantung kepada keputusan sesi 'pitching' itu," katanya kepada BH Online.

Empat tahun lalu, Bront atau nama sebenar, Nasrul Suhaimin Saifuddin berkongsi hasrat menerbitkan filem diangkat daripada misi Malaysia mengambil alih Guthrie Corporation daripada Britain, menerusi 'serangan' terhadap Bursa Saham London yang berlaku pada subuh 7 September 1981.

Peristiwa dikenali sebagai Guthrie Dawn Raid atau Serangan Subuh Guthrie itu menyaksikan pembabitan beberapa individu penting termasuk bekas Menteri Besar Selangor dan tokoh korporat, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, 76, yang meninggal dunia pada 31 Julai lalu.

Mengikut sejarah, Allahyarham Abdul Khalid dimasukkan dalam misi Guthrie Dawn Raid yang diatur bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta Gabenor Bank Negara yang juga Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) ketika itu, Allahyarham Tun Ismail Ali.

Pemergian Allahyarham Abdul Khalid yang dilaporkan dimasukkan ke hospital sejak April lalu bagi merawat jangkitan kuman pada injap jantung, membawa ingatan peminat terhadap pembikinan filem diberi judul Dawn Raid : The Hands That Rattled The Queen oleh Bront.

Impian Bront menerbitkan filem itu disokong dengan pembikinan trailer berdurasi 4.23 minit bagi tujuan hebahan dan mengumpul dana agar penggambaran dapat dimulakan.

Sebaik ditayangkan di YouTube, ramai peminat teruja dan tidak sabar menonton karya itu di pawagam. Namun, berita mengenai pembikinan filem Dawn Raid : The Hands That Rattled The Queen senyap sehinggalah naskhah itu diperkatakan semula selepas pemergian Allahyarham Abdul Khalid.

Bront enggan berjanji atau meletakkan harapan apakah filem Dawn Raid : The Hands That Rattled The Queen dapat diterbitkan. Foto IG Bront Palarae
Bront enggan berjanji atau meletakkan harapan apakah filem Dawn Raid : The Hands That Rattled The Queen dapat diterbitkan. Foto IG Bront Palarae

Bront yang baru muncul dengan filem sekuel, Pengabdi Setan 2 : Communion, bagaimanapun enggan berjanji atau meletakkan harapan apakah filem Dawn Raid : The Hands That Rattled The Queen dapat diterbitkan.

"Saya tidak mahu dilihat seperti menangguk di air keruh apabila bercerita mengenai filem ini ketika arwah Abdul Khalid baru sahaja meninggalkan kita semua.

"Risau juga dengan implikasinya nanti. Kalau ada rezeki rakyat Malaysia untuk menyaksikan filem itu, adalah. Jika tidak, kami tak kisah dan terus pandang ke depan," luah aktor berusia 43 tahun ini.

Sementara itu dalam perkembangan lain, aktor itu menyuarakan rasa kecewa apabila ramai penggiat seni tanah air tidak menghadiri Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) Ke-5 dengan malam kemuncak Malaysia Golden Global Awards (MGGA) 2022, bulan lalu.

Malaysia melakar kejayaan apabila menjadi tuan rumah festival yang menghimpunkan ramai penggiat industri filem serantau dan Bront terpilih menjalankan tugas sebagai duta untuk mempromosikan acara itu kepada khalayak ramai.

"Mereka sepatutnya mengambil peluang pada acara sebegini untuk membina lebih banyak jaringan kerjasama dengan penggiat seni asing.

"Acara itu dihadiri ramai karyawan seni tersohor dan peluang tidak datang setiap masa. Kita bawa Christine Hakim ke Kuala Lumpur untuk berkongsi ilmu, namun tidak ramai pelakon datang.

"Sebelum ini, ramai bertanya, bagaimana mahu melebarkan sayap ke luar negara. Tetapi apabila peluang terbentang di depan mata, mereka tidak mahu merebutnya.

"Saya bina jaringan kerjasama melalui festival filem antarabangsa yang saya hadiri. Di situ, saya berkenalan dengan ramai pembikin filem luar negara. Kita tidak tahu rezeki kita akan bermula dari situ," katanya.

Sementara itu, mengulas desas-desus konon bakal berhijrah ke Jakarta, Indonesia demi tuntutan kerjaya seni yang semakin berkembang di republik itu, Bront enggan mengiyakan atau menafikan perkara itu.

Bagaimanapun, akuinya, dia selesa berulang-alik walaupun rutin itu agak memenatkan.

"Lagipun, saya masih ada kerja-kerja di sini yang perlu diselesaikan. Bukan mudah hendak berhijrah kerana banyak aspek yang perlu diambil kira. Tetapi kita tengoklah nanti macam mana," ujarnya berteka-teki.